
Adik mangsa, Fazariah Nordin, 38, bersama keluarganya lega dengan penahanan lelaki itu.
“Bersyukur sangat dia sudah ditangkap polis. Harap dia akan dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya terhadap kakak saya.
“Kecederaan yang dialami kakak saya bukan sedikit, tetapi amat berat dan sehingga kini dia belum sedar, walaupun sudah mendapatkan rawatan di dua hospital selama hampir sebulan.
“Kakak alami kecederaan parah pada bahagian kepala, tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak,” katanya dipetik Harian Metro semalam.
Fazariah berkata, kakak sulungnya daripada tujuh beradik itu, Jahidah Nordin, 43, masih menggunakan saluran tiub untuk makan dan minum, tetapi mereka lega selepas dimaklumkan doktor yang kandungannya dalam keadaan baik.
“Ketika ini, anak yang dikandungnya berusia 15 minggu dengan jangkaan melahirkan anak pada Disember depan.”
Semalam, polis mendapat perintah reman ke atas suspek itu selama enam hari sehingga 17 Jun ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Bulan lalu, media melaporkan Jahidah cedera parah di kepala dan tengkorak, dengan rahang, tulang belakang serta rusuknya retak, disyaki dipukul suaminya di rumah mereka di Larkin pada 4 Mei lalu.
Polis kemudiannya mengedarkan gambar dan maklumat peribadi suspek yang bernama Rosmaini Abd Raof, 38, beralamat di A 102 Perumahan Polis, Taman Derga Jaya, Alor Setar di Kedah serta bekerja sebagai peniaga.
Wanita yang tidak sedarkan diri itu dibenarkan pulang ke rumah keluarganya di Sungai Udang, Melaka pada 30 Mei lalu, selepas dirawat di hospital selama 27 hari.
Pasukan perubatan memaklumkan mangsa mungkin hilang ingatan dan peluangnya pulih seperti biasa adalah tipis.