Rakyat perlu siri bantuan kewangan untuk teruskan hidup, kata Guan Eng

Rakyat perlu siri bantuan kewangan untuk teruskan hidup, kata Guan Eng

Setiausaha agung DAP itu berkata, apa yang diperlukan untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi ialah bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.

Lim Guan Eng berkata, kerajaan tidak rugi jika ia meminjam RM45 bilion daripada pasaran hutang domestik bernilai RM1.3 trilion untuk membantu syarikat dan rakyat yang terjejas dengan lanjutan PKP penuh.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, satu lagi pakej bantuan kewangan diperlukan untuk membantu syarikat terjejas dan pekerja yang kehilangan pekerjaan susulan lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh selama 14 hari.

Katanya, kerajaan tidak akan rugi dengan meminjam RM45 bilion daripada pasaran hutang domestik bernilai RM1.3 trilion untuk membantu syarikat dan rakyat bergelut dengan masalah kewangan akibat kesan buruk ekonomi susulan pelaksanaan PKP penuh.

“Kerajaan Perikatan Nasional perlu mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang bersifat keseluruhan-masyarakat yang dapat menyuntik RM45 bilion untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian rakyat berikutan lanjutan PKP.

“Sebelum ini, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Pemerkasa Tambahan bernilai RM40 bilion dengan dana baharu hanya RM5 bilion berikutan fasa pertama PKP selama dua minggu dari 1 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri kewangan itu berkata, dengan anggaran kerugian ekonomi harian sebanyak RM2.4 bilion, jumlah keseluruhannya dianggarkan sekurang-kurangnya RM60 bilion, suntikan tunai RM45 bilion ke dalam ekonomi akan membantu mengurangkan kerugian itu.

“Suntikan tunai mesti memberi manfaat secara terus kepada pekerja dan perniagaan.”

Beliau mencadangkan:

  • Kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk kepada penganggur, untuk baki tujuh bulan tahun ini sehingga selesai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK);
  • Lanjutan automatik moratorium pebayaran pinjaman bank, tidak termasuk kumpulan T20, sehingga PICK selesai menjelang akhir tahun ini. Kos itu harus ditanggung industri perbankan, yang mencatatkan keuntungan selepas cukai yang masih sihat hampir RM23 bilion untuk 2020;
  • Insentif pengambilan pekerja bagi tempoh dua tahun, merangkumi insentif upah RM500 sebulan kepada pekerja tempatan dan insentif pengambilan sebanyak RM300 sebulan kepada majikan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada 300,000 warga tempatan;
  • RM28 bilion dalam bentuk geran kewangan; subsidi upah, sewa dan utiliti; jaminan pinjaman dan lanjutan kredit untuk perusahaan kecil dan sederhana, pembinaan, peruncitan dan industri pelancongan yang lumpuh.

Lim berkata, apa yang diperlukan untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi ialah siri bantuan kewangan secara berkala untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian.

“Kaedah lama dengan bantuan ‘one-off’ adalah sekadar tindakan melepaskan batuk di tangga yang tidak akan dapat melindungi mata pencarian pekerja biasa dan rakyat yang mengalami masalah kewangan.

“Bantuan kewangan tidak boleh terhad kepada kumpulan B40, tetapi juga kumpulan M40 untuk mengelakkan mereka terjerumus ke dalam kumpulan B40.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.