‘Lockdown’ terbukti kawal jangkitan Covid-19, kata Bersatu

‘Lockdown’ terbukti kawal jangkitan Covid-19, kata Bersatu

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berkata, Bersatu juga mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dan pewartaan beberapa ordinan darurat.

Bersatu berkata langkah kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan penuh atau ‘lockdown’ terbukti dapat mengawal jangkitan Covid-19. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Bersatu berkata langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’ terbukti berkesan dalam memerangi wabak Covid-19.

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berkata kes Covid-19 menurun daripada 9,020 kes pada 29 Mei lalu kepada sekitar 6,000 kes harian ketika ini, hasil langkah-langkah yang diambil kerajaan.

Selain PKP, pewartaan beberapa ordinan darurat turut berkesan mengekang wabak itu, kata beliau.

Langkah-berjaya itu membantu “mengelakkan peningkatan kes jangkitan harian yang tinggi secara eksponen diluar jangkaan,” kata Hamzah dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu melalui sidang video.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh presiden parti Muhyiddin Yassin yang juga perdana menteri.

Hamzah berkata Bersatu berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas keprihatinan serta keyakinan baginda terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mentadbir negara, terutamanya dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Kenyataan Hamzah itu menyusul selepas Sultan Abdullah mengadakan siri pertemuan dengan pemimpin parti politik termasuk Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Perbincangan itu menjurus kepada keadaan semasa negara, khususnya usaha memerangi pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.