Laporan nahas LRT tak cukup mendalam, kata pakar

Laporan nahas LRT tak cukup mendalam, kata pakar

Dalam laporan itu, penyiasat memetik SOP keselamatan tidak dipatuhi dan mencadangkan 23 perubahan.

Seorang pakar pengangkutan berkata, laporan kemalangan pertembungan dua tren LRT itu meninggalkan banyak persoalan tidak dijawab. (Gambar Facebook Wee Ka Siong)
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan kemalangan tren LRT bulan lalu yang diserahkan Kementerian Pengangkutan kepada Kabinet pada Rabu lalu.

Rosli Azad Khan, perundingan perancangan pengangkutan, berkata ia meninggalkan banyak persoalan.

“Ia tidak cukup mendalam dari aspek operasi dan benar-benar menentukan apa silap sebenarnya sebelum kemalangan berlaku,” katanya kepada FMT.

Kementerian Pengangkutan memberikan satu senarai cadangan penambahbaikan kepada Kabinet untuk Prasarana Malaysia Bhd dan Rapid Rail Sdn Bhd menjalankan siasatan susulan ke atas pelanggaran itu.

Rosli Azad Khan.

Dalam laporan itu, penyiasat memetik SOP keselamatan kritikal yang tidak dipatuhi sebelum pertembungan berlaku. Mereka menggesa 23 perubahan jangka pendek dan panjang dilakukan.

Rosli berkata, orang ramai memerlukan lebih banyak butiran, seperti protokol tertentu yang diabaikan pengendali tren dan kenapa pusat kawalan tidak dapat mengesan dua tren dalam laluan pertembungan.

Katanya, ia juga tidak jelas kenapa SOP sedia ada tidak dipatuhi.

“Jika syarikat pengurusan pengangkutan awam atau kementerian menambah lebih banyak SOP keselamatan, bagaimana rakyat pasti ia akan dipatuhi pada masa depan berdasarkan apa yang berlaku?

“Orang ramai perlu diyakinkan dengan laporan pasukan penyiasat.

“Ini berkaitan hidup dan mati. Adakah pengendali LRT mampu memberi jaminan dengan kepastian tinggi yang kegagalan itu tidak akan berulang?” soalnya.

Pelanggaran di laluan Kelana Jaya pada 24 Mei lalu menyebabkan 47 penumpang cedera parah. Ramai lagi yang cedera ringan.

Seorang lagi pakar pengangkutan enggan dinamakan berkata, penambahbaikan yang dicadangkan penyiasat menunjukkan kesilapan manusia, yang tidak dapat diselesaikan dengan menambah lebih banyak unsur manusia.

“Sebahagian besar cadangan itu membabitkan penambahan lebih ramai pekerja untuk sistem tanpa pemandu, tetapi manusia yang menjadi masalahnya.

“Apabila anda mempunyai sistem baik seperti kami, secara idealnya anda mahu ia dikendalikan secara automatik (tanpa pemandu) sebaik mungkin.”

Bagaimanapun, katanya, beliau “bersimpati” dengan pasukan penyiasat kemalangan itu kerana dua minggu tidak cukup untuk mereka melakukan siasatan mendalam.

“Ia kini memerlukan satu lagi siasatan lebih komprehensif untuk mengkaji bagaimana manusia dan teknologi berinteraksi. Bawa lebih ramai pakar, bahkan dari negara lain, dan lihat apa amalan terbaik dalam melaksanakan sistem automatik tanpa pemandu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.