
Beliau memberi amaran KDN akan bertindak tegas terhadap individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap institusi raja-raja.
Hamzah berkata pihaknya mendapati terdapat peningkatan kes penghinaan terhadap institusi raja-raja yang tular di media sosial ketika ini.
“Kita akan ambil tindakan tegas dan mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan kenyataan atau….melakukan hasutan yang boleh menyebabkan gangguan ketenteraman awam. Kita akan ambil tindakan mengikut lunas perundangan negara,” kata Hamzah.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, polis masih akan menerima permit pergerakan bagi pekerja sektor perlu ekonomi yang tamat pada 14 Jun, sehingga sekatan pergerakan penuh tamat pada 28 Jun ini.
Beliau berkata langkah itu bagi tujuan penyelarasan penguatkuasaan kawalan pergerakan di sekatan jalan raya (SJR).
“Susulan keputusan kerajaan melanjutkan sekatan pergerakan penuh hingga 28 Jun, PDRM akan terus menerima surat atau permit pergerakan yang dikeluarkan 12 kementerian dan agensi yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Hamzah berkata polis melakukan hampir 1,000 SJR dan menutup 129 jalan kecil yang dikenal pasti menjadi laluan alternatif orang awam untuk melanggar larangan rentas negeri dan daerah.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati memalsukan permit pergerakan atau memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan permit kebenaran.
Mengenai tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP, Hamzah berkata polis telah mengeluarkan 9,808 kompaun dan melakukan 542 tangkapan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP, sejak 1 Jun hingga semalam.