Ini kerana, kata Ahli Parlimen Segambut itu, kumpulan rentan sangat bergantung kepada NGO untuk menyediakan keperluan harian mereka ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
“NGO tidak patut menerima akibatnya apabila mereka sedang bergelut mengekalkan operasi ketika pandemik.
“Jangan menyukarkan lagi keadaan mereka,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, FMT melaporkan kumpulan sukarelawan berdepan kesukaran mengagihkan bantuan dan menjalankan kerja kebajikan akibat prosedur tidak konsisten kerajaan.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana, James Nayagam berkata, NGO diminta memohon permit melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), tetapi permohonan mereka ditolak kerana disenaraikan sebagai perkhidmatan tidak perlu.
Katanya, Suriana turut mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis, tetapi mereka dirujuk kembali ke MITI.
“Sudah hampir dua minggu dan kami tidak boleh melakukan perjalanan (melebihi 10km). Kami membantu lebih 15,000 keluarga tahun lalu. Tahun ini, mereka menghubungi kami lagi.”
Beliau memberitahu FMT, ramai keluarga B40 meminta bantuan daripada Suriana, malah ada yang semua ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 dan dikuarantin di rumah.
Katanya, Suriana sedang berusaha melalui pemimpin masyarakat di kawasan perumahan kos rendah, dengan menghantar wang kepada mereka untuk menyampaikan makanan.
Nayagam menyifatkannya “mengecewakan” terpaksa berdepan sistem yang membenarkan penjualan rokok, tetapi bukannya pengagihan bantuan makanan atau peralatan perubatan.
“Kenapa kami tidak diiktiraf sebagai perkhidmatan perlu? Kami tidak meminta wang, kami hanya mahu surat dan kebenaran untuk melakukan perjalanan bagi memberi makanan kepada keluarga memerlukan.”
Ananti Rajasingam daripada Yayasan Chow Kit, yang sebelum ini bimbang dengan kurang penyelarasan antara agensi kerajaan, berkata mereka belum menerima sebarang kemas kini berhubung operasi mereka pada minggu lalu.
Walaupun pasukannya mendapat surat daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis memberitahu mereka memerlukan surat daripada JKM.
“Kami cuba menghubungi JKM Wilayah Persekutuan lagi, tetapi tidak mendapat apa-apa. Rasanya tiada siapa yang tahu apa yang sedang berlaku.”
Ananti berkata, pasukannya meneruskan pengagihan bantuan dalam kumpulan lebih kecil sejak beberapa hari lalu menggunakan surat daripada DBKL.
“Jika polis menghalang kami di sekatan jalan raya dan mengeluarkan denda, kami akan terimanya. Rakyat lapar dan mereka memerlukan makanan.”
PKP penuh di seluruh negara dilanjutkan dua minggu lagi, dari 15 hingga 28 Jun ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, ia diputuskan akibat kes harian Covid-19 tinggi yang masih melebihi 5,000 kes.