Festival filem fokus ‘penderaan’ dalam tahanan

Festival filem fokus ‘penderaan’ dalam tahanan

Filem dan animasi pendek adalah sebahagian daripada cara kumpulan Hak Suara Rakyat Malaysia (Suaram) untuk mengembalikan RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Filem pendek menceritakan tentang San dan kawannya yang mendakwa dipukul ketika dalam tahanan.
PETALING JAYA:
Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berganding bahu dengan FreedomFilmFest, sebuah festival filem dokumentari hak asasi manusia tahunan dalam kempen untuk mendesak Putrajaya mengembalikan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Sebahagian daripada kempen tersebut termasuk animasi pendek dan filem yang menyorot kekejaman polis terhadap tahanan di penjara.

Salah satu animasi pendek, bertajuk “Chili Powder & Thinner” arahan artis tempatan Amin Landak diadaptasi berdasarkan kisah benar seorang remaja, San (bukan nama sebenar), yang mendakwa dipukul ketika dia dan dua rakannya berada dalam tahanan polis.

Antara lain, animasi tersebut menunjukkan mereka diikat dan dipukul menggunakan pelbagai objek seperti tongkat kayu dan paip getah sebelum badan mereka dilumurkan serbuk cili dan disimbah ‘thinner’.

“Itu adalah budaya kekerasan dan taktik penderaan untuk memaksa suspek mengaku,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, dalam satu forum susulan tayangan perdana animasi tersebut.

Sementara itu, anggota kumpulan masyarakat sivil MISI Solidariti, Sharon Wah berkata, “video tersebut membawa mesej yang kuat, bahawa kematian dalam tahanan adalah lebih dari sekadar angka dan data.”

Mereka turut menggesa Putrajaya untuk mengembalikan RUU IPCMC 2019, dengan menegaskan jumlah kematian dalam tahanan menunjukkan betapa ia diperlukan, dan bukannya Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tingkah Laku Polis (IPCC) 2020.

Suaram turut melancarkan petisyen mendesak Kementerian Dalam Negeri untuk menghentikan kekejaman dan salah laku polis.

Petisyen itu yang memperoleh lebih 30,000 tandatangan memetik sebagai contoh kes gangguan seksual di sekatan jalan raya, sikap meremehkan ancaman rogol, mengugut wartawan dan tokoh yang lantang bersuara, ketidaksamaan dalam denda PKP dan kematian dalam tahanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.