Covid-19 akan ‘kuasai’ negara yang tidak belajar membendungnya, kata ahli akademik

Covid-19 akan ‘kuasai’ negara yang tidak belajar membendungnya, kata ahli akademik

Pro-Canselor Universiti Bristol berkata negara kaya punya kelebihan untuk mengawal pandemik menerusi vaksinasi yang pantas dan meluas.

Ahli akademik Andrew Sheng mengatakan virus itu berkemungkinan terus merebak dan bermutasi di negara-negara miskin.
PETALING JAYA:
Kegagalan negara-negara mengawal penularan Covid-19 akhirnya akan menyebabkan virus itu “menguasai” mereka, kata ahli akademik terkenal Andrew Sheng.

Bercakap di forum maya yang dihoskan oleh Sunway Project for Asian and International Relations, Sheng berkata negara-negara kaya mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk mengawal pandemik melalui pemberian vaksin yang lebih pantas dan meluas.

“Dari segi ekonomi, pengajaran terbesar daripada wabak ini adalah: ‘Sekiranya anda tidak menguasai Covid-19, Covid-19 akan menguasai anda’.

“Oleh kerana program vaksinasi yang sangat pantas di negara-negara kaya, mereka mula mengawalnya dan pulih,” katanya, sambil memetik China, Korea Selatan dan Singapura sebagai contoh.

Tambahnya di negara-negara miskin, kemungkinan besar virus itu akan terus menular dan bermutasi.

Pro-canselor Universiti Bristol itu turut berpendapat wabak tersebut telah melebarkan jurang bukan hanya antara negara kaya dan miskin tetapi juga dalam kalangan perniagaan dan anggota masyarakat.

Orang kaya dan elit, tambahnya, mempunyai akses yang lebih baik terhadap sumber, membolehkan mereka bekerja dan berniaga dalam talian.

Sheng berkata dalam pasaran baharu malah juga negara maju, peniaga kecil serta pekerja bergaji harian terus bergelut.

“Sebaik perintah sekatan berkuat kuasa, mereka hilang pendapatan. Apabila pendapatan mereka hilang, insurans dan penjagaan kesihatan mereka juga ‘hilang’,” katanya di forum bertajuk “Pandenomics: Global Economic Sentiment to Covid-19”.

Katanya, golongan ini kemudian dipaksa untuk memasuki perniagaan dalam talian, yang sudah sedia dikuasai syarikat berteknologi besar.

“Mereka yang tewas adalah orang kebanyakan dan kelas pertengahan. Itulah sebabnya wujud masalah dan polarisasi. Itulah sebabnya orang marah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.