“Saya tak nampak sebarang sebab untuk ini,” kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan merujuk kepada cadangan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) agar pekerja membayar caj RM50 untuk vaksinasi di lokasi selepas pusat beli-belah bersetuju untuk memberi subsidi.
Semua vaksin yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah percuma di bawah tanggungan kerajaan dalam Program Imunisasi Nasional Covid-19 (PICK).
“Saya mahu mengingatkan semua orang supaya tidak memaksa pekerja membayar vaksin kerana ia percuma untuk semua,” kata Saravan kepada FMT.
Terdahulu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam PPK sulan uscadangan itu dengan berkata, semua kos harus ditanggung oleh majikan.
Timbalan presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, sekalipun kos vaksinasi disubsidi namun adalah tidak adil pekerja dikenakan bayaran bagi mendapatkannya.
Beliau menasihatkan pekerja sektor runcit supaya melaporkan kepada MTUC sekiranya mereka dipaksa membayar vaksin.
Pada Februari Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri memutuskan warga asing yang tinggal di Malaysia, termasuk pekerja asing yang mempunyai dokumen dan tidak, akan diberi vaksin secara percuma di bawah PICK.
Menurut Saravanan, Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa menyebut semua pekerja mesti dilayan dengan adil. Katanya, ini bermaksud pekerja tempatan juga perlu diberi vaksin secara percuma.
Beliau juga berkata, beliau akan membincangkan perkata itu dengan Khairy hari ini.
“Kerajaan telah bersetuju pada dasar bahawa semua pekerja asing akan diberi vaksin. Oleh itu saya mahu tahu bila (akan dilaksana).”