
Walaupun peranan ahli politik diminimumkan dalam majlis itu, namun segala tindakan badan yang dicadangkan bekas perdana menteri itu akan bertunjangkan prinsip demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.
Dalam wawancara dengan FMT Mahathir berkata, Malaysia amat memerlukan majlis khas mirip MAGERAN itu untuk menangani empat krisis besar yang kini menyelubungi negara.
“Kita menghadapi masalah kesihatan, ekonomi, politik, sosio-ekonomi dan pendidikan. Kerajaan sekarang bawah pimpinan Muhyiddin Yassin tidak bermaya mengatasi masalah-masalah ini,” kata Mahathir.
Justeru kata Mahathir, langkah ke depan adalah membentuk majlis ala MAGERAN untuk membawa Malaysia keluar daripada kemelut sekarang tanpa berada bawah telunjuk ahli politik dan panglima perang atau “warlord”.
Semalam Mahathir membentangkan cadangan penubuhan badan itu kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak lama selepas itu, beberapa parti utama, termasuk PAS dan Umno, menolak terus cadangan berkenaan.
Dalam menghuraikan saranannya kepada FMT Mahathir berkata, sungguhpun konsep majlis itu ‘dipinjam’ daripada penubuhan MAGERAN pada 1969, terdapat beberapa perbezaan ketara dengan MAGERAN sebelumnya.
Keanggotaan
Mahathir berkata, sungguhpun beliau menawarkan diri untuk menerajui majlis itu, ia tidak perlu dipimpin oleh beliau atau dianggotai oleh mana-mana ahli politik.
“Kita memerlukan pakar-pakar terbaik dalam bidang masing-masing. (Contohnya dalam bidang) kesihatan, ekonomi dan pendidikan. Majlis itu hendaklah berbentuk inklusif – dalam erti kata pakar-pakar terbaik diambil menganggotainya, tak kira latar belakang mereka,” kata Mahathir.
Ditanya siapakah yang harus mengetuai majlis itu Mahathir berkata, calon berkenaan harus berpengalaman luas dalam mengurus pelbagai krisis sebelum ini, terbukti sebagai pemimpin berkaliber dan mempunyai integriti.
Mahathir berkata, calon berkenaan juga harus berpengalaman dalam kerahan jentera pentadbiran kerajaan dan menggerakan rakyat ke arah mengatasi empat krisis berkenaan.
Bekas perdana menteri itu berkata, mana-mana parti bebas mencadangkan calon untuk menganggotai majlis ala MAGERAN itu namun Agong mempunyai kata putus untuk menentukannya.
Kebertanggungjawaban
Mahathir berkata, walaupun majlis ala MAGERAN akan berfungsi sebagai eksekutif, ia tidak akan mempunyai kuasa meluas sebagaimana yang dimiliki oleh pentadbiran sekarang menerusi perisytiharan darurat.
“Menerusi MAGERAN, kita mengembalikan kuasa kepada Parlimen dan Agong. Sebagai contoh, jika MAGERAN mengusulkan dasar untuk menangani isu tertentu, ia akan dibahaskan terlebih dahulu di Parlimen.
“Undang-undang akan melalui proses Parlimen,” kata Mahathir.
Mahathir berkata, sistem sedemikian akan menamatkan pendekatan “hanya kerajaan tahu apa yang terbaik” untuk rakyat.
Mahathir juga menegaskan cadangan penubuhan MAGERAN akan memastikan segala tindakan dan operasi majlis itu tidak terbantut atau dikekang oleh mereka yang tamak kuasa.
“Agong sendiri akan menentukan keahlian MAGERAN. Jadi majlis dan operasinya tidak akan terjejas dengan apa-apa tindakan sesiapa yang berniat merampas kuasa,” kata beliau.
“Pada masa sekarang orang berfikir bahawa satu-satu cara untuk menukar kerajaan atau memperolehi kuasa adalah dengan mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Hakikatnya tidak ada sesiapa yang mempunyai sokongan mencukupi.
“Jadi apa yang berlaku adalah institusi Parlimen sendiri ditindas kerana pihak yang memegang kuasa (kerana sentiasa) khuatir kehilangan sokongan mencukupi di Parlimen,” tambah Mahathir.
Beliau berkata, MAGERAN berupaya memastikan politik melampau diminimumkan dan negara memberi tumpuan sepenuhnya untuk mengatasi krisis yang dihadapi.
“Kita juga boleh menjimatkan banyak wang rakyat yang dibazirkan. Ketika ini kita mempunyai 72 menteri dan timbalan menteri tetapi kerajaan tidak boleh mengatasi masalah negara. Bayangkan betapa banyak duit rakyat boleh dijimatkan dengan sebuah pasukan kecil (MAGERAN) yang tidak melebihi 20 orang.
“Semua wang yang dijimatkan itu boleh disalurkan kembali untuk kebaikan rakyat dalam bentuk vaksin, makanan dan lain-lain kebajikan,” tambahnya.
Jangka hayat MAGERAN
Mahathir berkata, MAGERAN perlu berfungsi sehingga empat krisis yang disebutnya diselesaikan tetapi menegaskan bahawa ia tidak bermaksud majlis itu berfungsi sehingga semua masalah selesai 100%.
“Untuk kesihatan, kita boleh kata masalah sudah diselesaikan apabila jumlah kes Covid-19 rendah dan negara mencapai imuniti kelompok 80%. Untuk ekonomi, ia (dianggap selesai) apabila kegiatan ekonomi boleh berfungsi semula seperti sediakala,” kata Mahathir.
“Kita harus ingat bahawa semua empat krisis berkenaan saling berkait. Namun adalah selamat untuk mengatakan bahawa MAGERAN tidak harus berkuasa melampaui Mei 2023.
“Pada masa itu kita bubarkan MAGERAN dan kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan pada PRU15,” kata Mahathir.
Darurat atau tidak?
Mahathir juga berkata, sekiranya cadangan beliau diterima, MAGERAN boleh berfungsi di bawah perisytiharan darurat yang ada sekarang atau tanpanya.
“Keputusan untuk tamatkan darurat adalah di tangan Agong. Namun apa yang membezakan MAGERAN dan kerajaan darurat adalah pemulihan Parlimen.
“Malaysia adalah sebuah demokrasi dan Parlimen adalah asas demokrasi itu. Berbeza dengan kerajaan sekarang yang dikendalikan oleh ahli politik, MAGERAN akan berpandu kepada kumpulan pakar dalam bidang masing-masing.
“Berbeza dengan kerajaan sekarang yang telah melumpuhkan Parlimen, MAGERAN akan diperkasakan oleh Parlimen dan institusi itu akan mengawasi MAGERAN,” kata Mahathir.
