Gereja simpan rekod sendiri penukaran agama, pemimpin Kristian beritahu inkuiri

Gereja simpan rekod sendiri penukaran agama, pemimpin Kristian beritahu inkuiri

Hermen Shastri daripada CCM berkata, gereja tidak berkongsi rekod mengenainya, dan beliau hanya mengetahui tentang kes tertentu selepas ia menjadi isu nasional.

Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM), Hermen Shastri berkata, beliau tidak pernah berjumpa mahupun mengenali Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu, sebelum kehilangan mereka. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Kristian memberitahu inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini bahawa beliau tidak sedar tentang kerja pastor Joshua Hilmy menarik orang Islam memeluk agama Kristian yang dilakukannya melalui Facebook.

Bercakap sebagai saksi dalam inkuiri umum mengenai kehilangan Joshua dan isterinya, Ruth Sitepu, Setiausaha Agung Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) Hermen Shastri berkata, semua rekod mengenai pastor yang menarik penganut agama lain disimpan oleh gereja masing-masing.

“Saya hanya mengetahuinya setelah ia menjadi isu negeri atau nasional, apabila ada dakwaan atau tuduhan dibuat,” katanya kepada panel.

“Namun CCM, (sebagai) badan kebangsaan, tidak menyimpan statistik pemecahan etnik di pelbagai gereja seluruh negara.”

Walaupun beliau mengakui bahawa upacara pembaptisan menandakan seseorang memeluk agama Kristian secara rasmi Hermen berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan mengenai kerja pembaptisan Joshua kerana ia bergantung kepada kongregasi yang diikutinya.

Tambahnya, beliau tidak pernah berjumpa mahupun mengenali pasangan tersebut secara peribadi sebelum kehilangan mereka.

Bagaimanapun katanya, beliau mempunyai rakan sekerja yang berkait dengan Ruth kerana wanita berkenaan pernah menyertai kongregasi Methodist di Ipoh, Perak.

Menurut Hermen, beliau diberi penerangan sebaik sahaja pasangan berkenaan diketahui hilang dan sejak itu beliau mengikuti perkembangan kesnya.

Beliau juga berkata, dalam komuniti Kristian, setiap individu berhak dilayan setara dan dengan hormat tanpa mengira latar belakang etnik.

“Berkenaan Joshua, kami mengiktiraf kesukaran (dihadapinya), dan kami berdiri bersamanya,” katanya.

“Bagaimanapun kita tidak boleh berkata bahawa semata-mata kerana beliau bekas orang Islam, maka beliau melakukan sesuatu di luar ajaran agama Kristian.”

Joshua, seorang lelaki Melayu yang menukar agamanya kepada Kristian, dan isterinya, Ruth, hilang selama lebih empat tahun. Mereka kali terakhir dilihat pada 30 Nov 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.