Buka Parlimen, bukan MAGERAN, kata PH

Buka Parlimen, bukan MAGERAN, kata PH

PH berkata penyelesaian terbaik ketika ini adalah menamatkan segera darurat dan Parlimen dibuka untuk proses semak dan imbang.

PH berkata penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, dan politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik.
PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara menolak cadangan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diajukan oleh Dr Mahathir Mohamad.

PH dalam kenyataan berkata, penyelesaian terbaik ketika ini adalah menamatkan segera perintah darurat dan Parlimen dibuka untuk proses semak dan imbang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik, dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong semalam, Mahathir mencadangkan penubuhan MAGERAN untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan, sekali gus menawarkan diri untuk mengetuainya.

Mahathir mendakwa MAGERAN perlu ditubuhkan segera bagi “merawat kerosakan” yang berlaku dalam pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya sebagai gagal memerangi pandemik Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.