
Beliau yang juga setiausaha organisasi DAP kecewa dan keliru dengan jawapan diberikan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berhubung kemalangan itu.
“Pertanyaan dalam otak orang ramai masih tidak terjawab. Apakah sebenarnya yang mengakibatkan nahas LRT 24 Mei lalu.
“Yang diumumkan oleh menteri pengangkutan cuma ‘Hostler & OCC’ telah mengabaikan SOP kritikal tertentu secara tidak sengaja mengakibatkan Tren 40 bergerak secara manual ke arah Gombak (arah utara), bukannya ke selatan menuju depot Subang.

“Tidak dihuraikan apakah kandungan SOP kritikal yang diabaikan; mengapakah SOP kritikal diabaikan oleh kedua-dua Hostler (pemandu tren) dan staf yang bertugas di OCC pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan.
Semalam Wee berkata, siasatan ke atas insiden dua tren LRT yang bertembung mendapati ia berpunca daripada SOP kritikal tertentu tidak dipatuhi.
Dalam pada itu Loke berkata, Wee juga tidak menyatakan sama ada staf yang terlibat diberi latihan mencukupi mengenai SOP pengoperasian tren dalam keadaan berbeza.
Katanya, tidak dijelaskan rekod kesihatan dan keselamatan staf terlibat, sama ada mereka mempunyai rehat yang cukup.
“Apakah mungkin faktor keletihan menyumbang kepada kelalaian dan sebagainya. Bagaimana pula dengan keadaan landasan dalam seksyen terowong sewaktu nahas tersebut berlaku? Apakah pencahayaan kurang sempurna?
“Atau pun papan tanda yang ada kurang jelas sehingga ‘Hostler’ gagal menentukan arah pergerakan tren,” katanya.
Loke berkata, banyak kemungkinan dan hipotesis yang ditimbulkan pelbagai pihak sejak 24 Mei.
Katanya, tanggungjawab kerajaan melalui Jawatankuasa Penyiasat Khas tersebut tidak lain dan tidak bukan untuk menyiasat dengan terperinci dari semua sudut kemungkinan berpandukan bahan bukti yang ada.
“Jawatankuasa Penyiasat Khas mempunyai sembilan anggota di mana empat orang mempunyai kepakaran teknikal dalam bidang kejuruteraan rel atau keselamatan pengangkutan.
“Saya yakin pakar-pakar tersebut telah mengkaji semua sudut kemungkinan yang berbangkit.
“Tetapi kenapa penilaian serta pandangan pakar tersebut berkenaan isu latihan staf, isu keletihan atau kesihatan dan keselamatan pekerja, isu keadaan landasan dan terowong dan isu rekod penyenggaraan (maintenance record) tren yang terlibat tidak diumumkan semalam,” katanya.
Loke berkata, tidak seorang pun pakar yang terlibat dijemput menghadiri sidang media Kementerian Pengangkutan petang semalam.
“Zaman ini kita tidak boleh menghalang orang ramai daripada bertanya soalan dan menimbulkan pelbagai hipotesis dan kemungkinan,” katanya.
Loke berkata, jika mengetuai kementerian itu sudah tentu beliau pastikan Laporan Lengkap Penyiasatan Nahas LRT 24 Mei 2021 diumumkan serta-merta selepas dibentang kepada Jemaah Menteri.
Katanya, malahan beliau tidak akan berpuas hati dengan sebuah Jawatankuasa Penyiasat dalaman yang diketuai oleh ketua setiausaha kementerian.
“Kerana saya tahu, tanpa sebuah pasukan penyiasat profesional dan bebas diketuai oleh tokoh industri dari luar, mustahil kerajaan dapat memberi keyakinan kepada mangsa kemalangan dan rakyat yang memantau kita.
“Keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan awam khususnya perkhidmatan LRT jatuh ke tahap amat rendah selepas berlaku nahas LRT 24 Mei di Kuala Lumpur,” katanya.