Ahli politik didakwa cabul Ratu Kaamatan mungkin berdepan tuduhan tambahan, kata polis

Ahli politik didakwa cabul Ratu Kaamatan mungkin berdepan tuduhan tambahan, kata polis

Pesuruhjaya Polis Sabah berkata, pihaknya sudah menyiapkan dua siasatan lain terhadap ahli politik itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Phillip Among yang juga ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, semalam.
KOTA KINABALU:
Seorang ahli politik Sabah yang berdepan lima pertuduhan gangguan seksual mungkin menghadapi tuduhan tambahan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali.

Beliau berkata, polis sudah menyiapkan dua siasatan lain terhadap ahli politik berkenaan, yang juga seorang ahli perniagaan, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan melanggar peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya, kertas siasatan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan selanjutnya.

“Sama ada tuduhan tambahan akan difailkan bergantung kepada AGC,” katanya selepas menyaksikan pemangku Ketua Polis Kota Belud Mohd Airul Sukri menyerahkan tugas kepada Sahimi Husin, ketua polis daerah yang baharu.

Phillip Among, ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) semalam mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mencabul kehormatan dua wanita di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Among, atau nama sebenarnya Philip Among @ Daniel Dell Fidelis, dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dua wanita secara berasingan, termasuk seorang peserta Ratu Kaamatan yang lebih dikenali sebagai Unduk Ngadau.

Bagi pertuduhan pertama, Among dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita kira-kira 11 malam pada 17 April lalu di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, Kota Kinabalu.

Empat pertuduhan lain turut membabitkan kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita yang juga peserta Ratu Kaamatan di empat tempat berasingan pada 19 Mei lalu.

Dalam perkembangan lain Hazani berkata, polis tekad menghapuskan reputasi Sabah sebagai titik transit bagi sindiket menghantar dadah ke negara lain.

Beliau mengulas laporan yang menyebut bahawa pihak berkuasa di negara jiran mendapati semua 13 sindiket dadah yang ditumpaskan mereka di sana membawa masuk dadah melalui Sabah.

“Serbuan terbesar adalah di Indonesia yang menyaksikan pihak berkuasa merampas 208kg dadah yang dihantar ke Sabah sebelum dieksport ke negara berkenaan,” kata Hazani.

Dalam pada itu beliau turut memberi amaran kepada anggota polis supaya tidak terlibat dengan aktiviti sebegitu selain menambah bahawa hukuman keras menanti mereka yang didapati bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.