
Berdasarkan infografik yang dikongsikan di Twitter KKM, sehingga semalam empat negeri menunjukkan perubahan kategori bagi beberapa daerah daripada zon merah kepada jingga dan kuning.
Di Perak dan Kedah, masing-masing satu daerah kini berada dalam kategori jingga dengan merekodkan di bawah 40 kes Cvid-19, iaitu Kampar dan Sik.
Di Pahang, tiga daerah berada dalam zon jingga, iaitu Raub yang merekodkan 40 kes, diikuti Pekan (35 kes) dan Rompin (29 kes) manakala Cameron Highlands kini berada dalam zon kuning dengan hanya 18 kes direkodkan setakat semalam.
Mersing menjadi satu-satunya daerah di Johor yang berada dalam zon kuning selepas hanya merekodkan 16 kes.
Sementara itu sembilan daerah di Sarawak kini dikategorikan sebagai zon kuning, iaitu Limbang, Lundu, Lawas, Tebedu, Pusa, Belaga, Daro, Julau dan Saratok manakala tiga lagi dikategorikan zon jingga, iaitu Simunjan, Matu serta Telang Usan.
Sebanyak enam daerah di Sabah dikategorikan sebagai zon kuning, iaitu Sipitang, Ranau, Tambunan, Pitas, Tenom, dan Tongod sementara dua lagi daerah berada dalam zon jingga, iaitu Kota Marudu dan Telupid manakala daerah Beluran mencatatkan sifar kes dan berada dalam zon hijau.
Semalam KKM merekodkan 5,671 kes harian baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini mencecah 639,562.
Sehingga semalam juga KKM mengesan 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (dua kluster).