Usul undi tak percaya tak mampu guling kerajaan, kata Dr M

Usul undi tak percaya tak mampu guling kerajaan, kata Dr M

Pengerusi Pejuang itu yakin individu dalam kerajaan, khususnya yang memiliki kes mahkamah ketika ini, tidak akan berani mengambil tindakan drastik seperti menarik sokongan mereka kepada kerajaan.

Dr Mahathir Mohamad berkata, usul undi tidak percaya di Parlimen tiada kesan kerana individu menyokong kerajaan ketika ini, memberikan sokongan kerana masalah dihadapi mereka.
KUALA LUMPUR:
Usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat tidak mampu menggulingkan kerajaan yang ada sekarang, kata Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, beliau yakin individu dalam kerajaan, khususnya yang memiliki kes mahkamah ketika ini, tidak akan berani mengambil tindakan drastik seperti menarik sokongan mereka kepada kerajaan.

“Jika ada usul undi tidak percaya di Parlimen, ia tiada kesan kerana saya berpendapat individu menyokong kerajaan ketika ini, memberikan sokongan kerana masalah mereka hadapi.

“Kalau kerajaan hari ini jatuh, mereka juga akan terkeluar daripada kerajaan. Ia bahaya untuk mereka kerana mereka ada kes mahkamah.

“Jika kekal dalam kerajaan, mereka ada ruang untuk memanipulasi perkara tertentu. Jadi usul undi tidak percaya tidak akan beri kesan untuk mengubah kerajaan,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kerajaan yang sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid, yang membabitkan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan maya.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, dalam situasi pandemik ketika ini, Parlimen perlu berfungsi untuk mengetengahkan masalah dihadapi rakyat dan mencari idea untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

“Selain itu, apabila Parlimen bersidang, antara langkah pertama adalah untuk melihat sama ada proklamasi darurat ketika ini disokong Dewan Rakyat atau sebaliknya.

“Ini kerana undang-undang memperuntukkan pengisytiharan darurat perlu dibentang dan di putuskan di Parlimen, namun ini tidak dilaksanakan. Darurat ketika ini tidak selaras undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.