
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, membuat tawaran itu hari ini dalam usaha menggalakkan lebih ramai penduduk mendaftar bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Hadiah berkenaan menurut bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu akan diberikan setiap bulan melalui cabutan bertuah.
Selepas mengunjungi Pusat Vaksinasi Spice Arena hari ini, Sim menggesa mereka yang sudah mendapat vaksin mendaftar untuk cabutan bertuah itu di pusat khidmatnya.
Sim turut menggesa pemaju hartanah dan kerajaan negeri memberikan rumah percuma sebagai sebahagian daripada hadiah utama cabutan bertuah bertujuan mendorong lebih ramai penduduk mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Katanya, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) boleh menerajui inisiatif ini, sementara kerajaan negeri boleh menawarkan perumahan negeri percuma bagi menggalakkan lebih ramai penduduk mendaftar dan mendapat dua dos suntikan mereka.
“Kilang dan syarikat swasta lain juga boleh memainkan peranan mereka dengan memberi insentif tunai, kereta, motosikal, komputer kepada pekerja yang menyelesaikan dua dos mereka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sim berkata, syarikat tempatan dapat memainkan peranan mereka dengan menaja makanan dan hadiah lain di pusat vaksinasi untuk mendorong lebih ramai orang mendaftar dan mendapatkan vaksin mereka.
Beberapa negeri lain turut melakukan usaha serupa.
Di Johor, ADUN Penawar Sharifah Azizah Syed Zain menawarkan ayam dan telur di sebuah kampung di kawasannya dan hasilnya 185 orang mendapatkan vaksin.
Di Butterworth, sebuah syarikat membayar RM150 kepada setiap 120 pekerja yang mendapat vaksin. Beberapa kedai makan turut menawarkan potongan harga istimewa atau makanan percuma – seperti tau foo fah, secawan susu soya, kopi, smoothie avokado dan kek keju kepada sesiapa sahaja yang telah diberi vaksin.
Di Amerika Syarikat, seorang wanita memenangi USD1 juta (RM4.1 juta) dalam loteri vaksinasi yang dianjurkan oleh negeri Ohio.
Negeri-negeri lain di AS menawarkan biasiswa penuh pengajian tinggi dan memberi ganjaran kepada mereka yang membawa jiran mereka mendapatkan vaksin, termasuk bir percuma seperti yang dilakukan di negeri New Jersey.
Sementara itu Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengulangi gesaannya agar lebih banyak pusat vaksinasi dibuka di Pulau Pinang untuk memenuhi sasaran 20,000 dos sehari.
Katanya, di daerah timur laut, di mana terletaknya ibu negeri George Town, sekurang-kurangnya 322,000 perlu diberi vaksin untuk mencapai sasaran 80% imuniti kelompok. Pihak berkuasa kesihatan mensasarkan 1.3 juta daripada 1.77 juta orang di negeri ini untuk diberi vaksin.
Chow berkata, walaupun sejumlah 268,000 orang mendaftar untuk divaksinasi, setakat ini hanya 38,000 orang telah divaksin di Pulau Pinang.