
Penyelidik Kanan Institut Analisis Strategi dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Noorlailey M Fadzilah, berkata semua pihak perlu berganding bahu bagi mempercepatkan kadar vaksinasi dan bukan melepaskan tanggungjawab kepada pihak lain seandainya satu pihak lagi dikatakan gagal.
“Kerajaan perlu segera menggembleng lebih usaha dan menggerakkan mekanisme lain dengan lebih agresif, pantas dan efisien bagi kemudahan mendapat akses vaksinasi.
“Gerakan program kesedaran pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) boleh dilaksanakan melalui medium seperti program mandatori oleh semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri untuk mendaftarkan vaksinasi kepada seluruh rakyat di kawasan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peranan parti politik atau NGO, dan kerjasama bersama personaliti berpengaruh atau figura terkenal seperti bangsawan, agamawan, selebriti, atlet sukan dan sebagainya adalah perlu bagi memastikan tidak ada rakyat yang tertinggal dalam proses pendaftaran vaksin ini.
Noorlailey berkata, mekanisme lain yang dilihat bersesuaian bagi meningkatkan kadar vaksinasi adalah dengan menyediakan sistem “walk-in” di setiap pusat pemberian vaksin (PPV) dengan tetapan pada waktu tertentu bagi mengatasi jumlah ketidakhadiran yang tinggi atau isu logistik penyimpanan semula vaksin.
Katanya, PPV berskala kecil di setiap daerah, mukim, kawasan perumahan atau kampung dengan kerjasama klinik swasta mahupun kerajaan serta penglibatan wakil komuniti setempat dan persatuan penduduk juga boleh disediakan kerajaan.
“Ia bagi mengurangkan aliran trafik yang sesak di PPV mega selain mobilisasi aset-aset kenderaan angkatan tentera sebagai trak vaksin bergerak untuk capaian ke kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak serta kawasan perkampungan Orang Asli.
“Kejayaan projek rintis PPV secara pandu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, seharusnya menjadi pemangkin untuk kerajaan mewujudkan lebih banyak PPV pandu lalu di seluruh negara yang sekaligus membantu mengurangkan risiko pendedahan kes sporadik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, bantuan logistik dan insentif kewangan harus disalurkan kerajaan terutama bagi penduduk luar bandar ke PPV selain meningkatkan jumlah dan kualiti pusat sehenti bagi tujuan peringatan janji temu PICK dan menjawab sebarang kemusykilan orang ramai mengenai vaksin.
Katanya, negara kini sudah berada dalam kancah peperangan melawan Covid-19 yang mana ianya memerlukan kerjasama semua pihak untuk menggempur dengan menggunakan segala sumber tenaga dan kepakaran yang ada.
“Tanggungjawab tidak seharusnya terletak di bahu sebelah pihak sahaja kerana dikhuatiri akan merencatkan kelicinan usaha untuk melawan musuh yang tidak kelihatan ini.
“Pengendalian PICK wajar dikendalikan secara kolaboratif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan gandingan bahu bersama tentera, polis, serta angkatan yang lain telah pun dimobilisasikan ke segenap pelusuk negara.
“Ia demi menjaga kepentingan orang awam supaya tiada lagi gelombang baharu yang tercetus dan mengelakkan perkara paling ditakuti iaitu kelumpuhan sektor perkhidmatan kesihatan,” katanya.