Menyifatkan cadangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu sebagai “lebih mudah diucap daripada dilakukan” dan “tidak praktikal”, bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, vaksinasi wajib tidak akan berjaya.
Mingga lalu Muhyiddin mengarahkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mengkaji vaksinasi wajib, saelain menambah bahawa langkah itu perlu dipertimbangkan jika bilangan pendaftaran kekal rendah dan gagal mencapai sasaran kerajaan bagi imuniti kelompok.
Beliau juga berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap golongan antivaksin.

Kata Lee kepada FMT, bagi mewajibkan vaksinasi, beberapa bentuk hukuman seperti denda atau penjara harus dikenakan terhadap mereka yang menolak vaksin.
“Bagaimanapun kumpulan antivaksin ini mungkin akan menggunakan alasan kepercayaan peribadi dan keagamaan. Adakah kerajaan bersedia menghukum mereka yang menolak (vaksin) atas dasar kepercayaan peribadi?” katanya kepada FMT.
Kaedah yang lebih baik katanya, adalah menerusi dasar pilihan bagi program vaksinasi.
“Pada masa ini program tersebut menggunakan kaedah sukarela, dengan mereka yang ingin mendapatkan vaksin perlu mendaftar.
“Menjadikannya pilihan bermaksud setiap rakyat yang layak didaftarkan secara automatik dan individu yang menolak boleh menandatangani dokumen yang menyatakan mereka tidak mahu menerima vaksin.
“Bawah sistem ini, kerajaan hanya perlu fokus untuk memanggil individu untuk diberi vaksin berdasarkan keutamaan. Janji temu boleh diberikan seminggu sebelumnya untuk mengelakkan pembaziran,” katanya.
Kerajaan juga harus menambah bekalan vaksin untuk mempercepat program vaksinasi, kata Lee.
Jika perlu katanya, kerajaan harus bersedia membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan vaksin.
“Kosnya tetap lebih rendah jika dibandingkan dengan keseluruhan kos dan kerugian akibat sekatan penuh.”
Lee menggesa kerajaan supaya memberi kelulusan bersyarat kepada vaksin yang digunakan secara meluas di negara lain seperti Sinopharm dan CanSino (China), Sputnik V (Rusia), Covishield (India), Johnson & Johnson dan Moderna (Amerika Syarikat).
“Benarkan sektor swasta guna vaksin yang diluluskan ini untuk menjalankan vaksinasi berdasarkan permintaan. Kerajaan hanya perlu fokus kepada warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit komorbiditi,” tambahnya.
Lebih banyak vaksinasi boleh membawa kesan pengganda positif, kata Galen
Badan pemikir Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial juga berpendapat, kerajaan harus fokus kepada memberi vaksin kepada individu berdaftar secepat mungkin, bukan mengutamakan vaksinasi wajib.

“Mencapai kejayaan dari segi itu akan membawa kesan pengganda positif yang akan mendorong lebih ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin. Itu sepatutnya fokus yang lebih tepat,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib.
Angka terbaru di laman web JKJAV menunjukkan bahawa 12,743,918 – atau lebih satu pertiga daripada populasi negara seramai 31.5 juta – telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.
Setakat Selasa, seramai 2,503,655 individu telah melengkapkan proses vaksinasi.
Kata Azrul, penting untuk mempertimbangkan isu vaksinasi wajib dari sudut etika dengan menyatakan bahawa ia boleh diwajarkan secara etika jika ancaman terhadap kesihatan awam sangat serius.
Azrul turut membangkitkan bahawa individu yang tidak mendapat vaksin atas sebab perubatan yang sah berisiko menjadi mangsa atau disisihkan.
Keyakinan terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 tinggi katanya, oleh itu denda atau kos ketidakpatuhan mesti bersekadar dan adil.
“Yang paling penting, faedah yang diharapkan daripada vaksinasi wajib mestilah jauh lebih besar daripada apa yang sedang dilakukan,” katanya.