Hak Agong panggil pemimpin politik, kata Dr M

Hak Agong panggil pemimpin politik, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin utama parti politik negara dipanggil menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas keputusan Seri Paduka untuk mendengar dan mendapat pandangan daripada mereka.

Dr Mahathir Mohamad berkata Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut bertanya pandangannya bilakah PRU15 sesuai diadakan.
KUALA LUMPUR:
Menjadi hak Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil mana-mana pemimpin politik mengikut keperluan bagi mendapatkan pandangan berkaitan keadaan semasa negara, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin utama parti politik negara dipanggil menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah atas keputusan Seri Paduka untuk mendengar dan mendapat pandangan daripada mereka.

“Itu hak Agong nak jumpa dengan sesiapa kalau perlu jumpa dengan semua, itu keputusan baginda. Sebab (alasan dipanggil menghadap) itu terpulang kepada Agong.

“Saya tak tahu sebab apa mungkin nak tahu kedudukan dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin politik ini,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Mahathir berkata Sultan Abdullah turut bertanya pandangannya bilakah PRU15 sesuai diadakan.

“Baginda ada bertanya sama ada pilihan raya boleh diadakan tahun depan atau bila-bila masa. Saya berkata ia berbahaya untuk diadakan sekarang. Seperti apa yang berlaku di Sabah ketika pilihan raya negeri…akan ada peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, negara perlu mencapai imuniti kelompok dalam pemberian vaksin Covid-19 sebelum PRU15 boleh diadakan.

“Apabila kita mencapai imuniti kelompok dengan 80% rakyat diberi vaksin, maka agak selamat untuk mengadakan pilihan raya. Jika tidak, apa yang berlaku di Sabah akan berulang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.