‘Saya teruja’, kata ratu skuasy negara, Nicol mengenai filem biografi

‘Saya teruja’, kata ratu skuasy negara, Nicol mengenai filem biografi

Penerbit merancang mengambil aktres tempatan untuk memegang watak atlet wanita sukan skuasy paling berjaya itu.

Nicol David, 37, bersara daripada skuasy dua tahun lalu selepas melakar kerjaya gemilang sepanjang dua dekad.
KUALA LUMPUR:
Pemain skuasy wanita paling berjaya sepanjang zaman, Nicol David berkata beliau “teruja dan terharu” apabila kisah hidupnya akan diabadikan dalam sebuah filem biografi.

Juara dunia lapan kali itu cukup dikagumi di peringkat antrabangsa kerana mengekalkan gelarannya sebagai pemain nombor satu dunia selama sembilan tahun antara 2006 hingga 2015.

“Saya selalu mengimpikan untuk berkongsi kisah saya ini suatu hari nanti, memberi inspirasi kepada semua untuk bekerja keras jika ingin mencapai impian mereka,” tulisnya di Facebook awal minggu ini.

Atlet berusia 37 tahun itu bersara daripada skuasy dua tahun lalu selepas melakar kerjaya gemilang sepanjang dua dekad.

Filem, “I am Nicol David”, akan dihasilkan oleh Ace Pictures Malaysia. Ia adalah filem berbahasa Inggeris dan penerbit merancang untuk mencari pelakon tempatan bagi memegang watak Nicol.

Produksi filem tersebut masih di peringkat awal termasuk kerja membangunkan lakon layarnya.

Nicol memegang rekod pemain paling lama menghuni ranking nombor satu dunia, iaitu selama sembilan tahun, sebelum dirampas jaguh Mesir, Reneem El Weleily, pada 2015.

Beliau juga pernah memenangi lima gelaran Terbuka Britain, dua pingat emas Sukan Komanwel, lima pingat emas Sukan Asia dan tiga pingat emas Sukan Dunia.

Satu-satunya kekesalannya ialah skuasy belum diterima menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik sepanjang kerjayanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.