
Beliau berkata, pertambahan 30% kemasukan pesakit Covid-19, terutama di hospital kerajaan di daerah berkenaan sejak Aidilfitri lalu menyumbang kepada peningkatan penggunaan katil secara berterusan di wad dan ICU kepada melebihi 95%.
Katanya, hospital medan yang dibina ATM itu akan dilengkapi dengan empat katil ICU dan 60 katil wad secara berperingkat serta ditempatkan di pekarangan hadapan bangunan induk HSA.
“Kerja pemasangan aset ATM ini bermula 8 (semalam) hingga 9 Jun (hari ini) dan hospital ini dijangka beroperasi mulai 17 Jun,” katanya dalam kenyataan.
Vidyananthan berkata, selain petugas HSA, pihak ATM akan menggerakkan tiga pegawai dan 30 kakitangan teknikal (paramedik) bagi membantu operasi dan memberi rawatan di hospital medan berkenaan.
“Selain kerjasama ATM dan KKM, pengoperasian hospital medan ini merupakan hasil usaha serta kerjasama pelbagai pihak, termasuk NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri,” tambah beliau.
Semalam, Johor merekodkan 456 kes baharu Covid-19 dengan Johor Bahru terus menjadi daerah paling teruk terjejas, mencatatkan 300 kes.
Semua tujuh mukim di daerah berkenaan dikategorikan sebagai zon merah.