Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai esok hingga 31 Ogos depan.
“Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan diluluskan.
“Butiran berkenaan pelaksanaan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya dalam kenyataan.
Noraini berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
“Diharapkan dengan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.
Kerajaan sebelum ini menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN tahun lalu mulai 19 Mac hingga 31 Dis 2020 kepada semua peminjam.
Manakala itu penangguhan khas bayaran balik kepada peminjam PTPTN terkesan dibuat selama tiga bulan antara Januari hingga Mei lalu.