SPRM tahan 6 pegawai bank minta suapan babit transaksi RM18 juta

SPRM tahan 6 pegawai bank minta suapan babit transaksi RM18 juta

Rasuah itu dilaporkan sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan daripada pemohon yang sebenarnya tidak layak membuat pinjaman.

Semua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun itu dilaporkan bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang. (Gambar Bloomberg)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam pegawai dan kakitangan sebuah bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemohon pinjaman peribadi melibatkan 110 transaksi berjumlah kira-kira RM18 juta.

Semua suspek lelaki berusia antara 36 hingga 45 tahun itu ditahan pada 4.45 petang di Pejabat SPRM Selangor pada Selasa.

Bernama memetik sumber mengatakan, wang rasuah itu sebagai balasan untuk meluluskan permohonan pembiayaan daripada pemohon yang sebenarnya tidak layak membuat pinjaman.

“Mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15% hingga 35% daripada sejumlah 110 pinjaman pembiayaan peribadi yang bernilai lebih kurang RM18 juta,” kata sumber berkenaan.

Sumber turut memberitahu, pegawai dan kakitangan tersebut bertugas di beberapa cawangan bank tersebut di sekitar Lembah Klang.

Difahamkan, SPRM juga merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Alias Salim mengesahkan penahanan itu.

Katanya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk permohonan reman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.