Semua perkhidmatan kerajaan tanpa tunai pada 2022, kata Tengku Zafrul

Semua perkhidmatan kerajaan tanpa tunai pada 2022, kata Tengku Zafrul

Menteri kewangan berkata, 60% kutipan kerajaan sudah dilaksanakan melalui e-bayaran tahun lalu.

Tengku Zafrul Aziz berkata, transaksi tanpa tunai akan membawa kepada keselamatan dan penyelarasan lebih baik, serta perkongsian maklumat lebih mudah.
PETALING JAYA:
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz mengumumkan semua perkhidmatan kerajaan akan ditawarkan atas dasar tanpa tunai menjelang 2022 di bawah inisiatif MyDigital.

Katanya, 60% kutipan kerajaan dilaksanakan melalui e-bayaran setakat akhir tahun lalu.

“Ini akan membawa kepada keselamatan transaksi lebih tinggi, penyelarasan lebih baik dan meningkatkan komunikasi mengenai inisiatif antirasuah serta perkongsian maklumat lebih mudah,” katanya pada Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2021.

Awal tahun ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, semua agensi kerajaan akan menawarkan transaksi tanpa tunai sebagai “pilihan utama” menjelang 2022.

Zafrul berkata, kerajaan mula menekankan pendigitalan dengan beralih kepada kad pengenalan elektronik dan memodenkan penyampaian perkhidmatan awam untuk mengurangkan kontak langsung antara rakyat dan pegawai kerajaan.

Katanya, ia turut mempercepatkan bantuan kerajaan secara langsung untuk memastikan “keterangkuman, kebolehcapaian, ketelusan dan kebertanggungjawapan.

“Setakat ini, bantuan langsung kebanyakannya dilakukan tanpa tunai, dengan permohonan dan bayaran untuk Bantuan Prihatin Rakyat serta Geran Khas Prihatin dibuat secara elektronik dan dalam talian.”

Beliau turut mengakui usaha MIA mengukuhkan fungsi kewangan sektor awam dan mengucapkan terima kasih kepada profesion perakaunan atas usaha berterusan untuk menyokong kesinambungan perniagaan.

Katanya, kerajaan menghargai sokongan MIA terhadap tadbir urus cukai yang memfokuskan untuk menangani ketidakpatuhan dan ketidakcekapan sistemik.

Beliau turut menggesa semua syarikat supaya memperuntukkan lebih banyak dana untuk pembelajaran profesional dan peribadi bagi mencungkil dan memupuk bakat tempatan dalam usaha menjadi negara maju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.