
Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli berkata, tugas itu malah semakin mencabar susulan peningkatan bilangan jenazah pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Malah, katanya, sehingga semalam, pihaknya sudah menguruskan sebanyak 139 jenazah Islam yang dijangkiti Covid-19 di Negeri Sembilan.
“Berlaku peningkatan kes kematian akibat Covid-19 sejak kebelakangan ini terutama selepas Aidilfitri membuatkan JHEAINS terpaksa menguruskan semua jenazah orang Islam berkenaan.
“Malah, kami pernah menguruskan lapan pengebumian jenazah pesakit Covid-19 dalam satu hari,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, skuad Tajhiz JHEAINS menguruskan jenazah berkenaan bermula dari bahagian forensik hospital sehingga proses mengkafan, solat serta memasukkan jenazah ke dalam keranda dan kenderaan.
“Ketika proses pengebumian dilakukan, anggota Tajhiz JHEAINS yang lain pula akan ditugaskan memastikan liang kubur sudah disediakan dan sesuai dengan saiz jenazah serta menurunkan jenazah dan mengambus kubur,” katanya.
Seorang petugas Tajhiz JHEAINS, Wan Mohd Husni Abdullah, 40, berkata, dua pasukan akan bersedia untuk menguruskan jenazah Covid-19 Islam di seluruh negeri ini tanpa mengira waktu.
“Walaupun kadangkala perlu menguruskan jenazah secara berturut-turut dalam sehari, setakat ini, Alhamdulillah keadaan kami masih lagi baik.
“Ini adalah tugas fardu kifayah yang perlu dilakukan,” katanya.