
Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah berkata kadar penggunaan katil ICU yang melebihi 100% ini amat membimbangkan kerana ini bererti tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.
Dalam pada itu, Hisham berkata sehingga 6 Jun lalu, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan ICU di hospital menunjukkan sedikit penurunan dalam tempoh dua minggu, iaitu dari 99% kepada 89%.
“Begitu juga dengan kadar penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) adalah sebanyak 54%,” katanya dalam kenyataannya.
Hisham juga berkata, hospital-hospital di seluruh negara sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius (kategori 4 dan 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).
Katanya, pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.
“Statistik yang diterima oleh CPRC Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit
kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari.
“Kesinambungan daripada situasi yang dinyatakan, KKM ingin mengingatkan semua pihak bahawa situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih kekal pada situasi sangat serius,” katanya.
Beliau berkata, bahaya penularan Covid-19 dan kapasiti hospital (terutama ICU) bagi menampung kes-kes Covid-19 adalah di tahap kritikal dan boleh terus meningkat sekiranya kita alpa walau untuk sehari sekali pun.
Jelasnya lagi, situasi itu tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ketika ini.