
Ini menyusul kenyataan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang berkata, agensi penguatkuasaan akan mengadakan operasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh untuk menahan pekerja asing tidak berdokumen.
Penyelidik dasar kesihatan awam dari Forum Kesihatan Rakyat, Dr Lim Chee Han berkata, 83 NGO dan individu terkemuka sudah menandatangani petisyen itu yang menganggap pendekatan semasa untuk menahan pendatang tanpa dokumen sebagai “tidak membantu”.
“Operasi sebegini akan menakutkan pekerja asing, tidak kira mereka berdokumen ataupun tidak berdokumen, dan memaksa mereka bersembunyi,” katanya dalam sidang media maya anjuran forum itu hari ini.
“Ini akan menggagalkan usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam melawan Covid-19,” katanya selain menambah bhawa imuniti kelompok memerlukan 80% penduduk divaksin, termasuk komuniti pendatang asing.
Beliau berkata, kegagalan mencapai tahap vaksinasi 80% penduduk akan melewatkan pemulihan ekonomi negara dan melanjutkan penderitaan rakyat.
Katanya, operasi terhadap pendatang tanpa dokumen akan mencetuskan kluster baru Covid-19 di pusat tahanan imigresen, dengan virus itu mungkin menjangkiti pegawai imigresen dan keluarga mereka, malah anggota polis dan kakitangan mahkamah yang terbabit dalam prosedur reman.
“Jabatan Imigresen tiada kapasiti untuk menahan dua hingga tiga juta pendatang tanpa dokumen yang berada di Malaysia.”
Beliau mendapati lebih 95% pendatang tanpa dokumen sedang bekerja dan menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kami berharap perdana menteri akan membawa isu ini ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara supaya pendekatan lebih sesuai dan bersepadu dapat dirangka bagi mengendalikan pendatang tanpa dokumen semasa penularan Covid-19.
“Ketika ini, kita harus memfokuskan matlamat mengawal penularan Covid-19 di negara kita.”
Antara pihak yang menandatangani petisyen itu ialah Citizens’ Health Initiative, Agora Society Malaysia, Third World Network, Health Equity Initiatives dan Parti Sosialis Malaysia.
Seramai 156 pendatang tanpa dokumen ditahan di sebuah penempatan haram di Cyberjaya menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Imigresen pada Ahad lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dilaporkan berkata, petempatan pendatang tanpa izin berpotensi menjadi punca penularan Covid-19 kerana tiada pematuhan SOP PKP seperti penjarakan fizikal dan melakukan aktiviti berkumpulan.