
“Kekeliruan dan ketidakpastian seumpama ini menjadi ciri utama kerajaan Muhyiddin, dengan tangan kanan tidak tahu apa yang dilakukan tangan kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Saya menyeru Muhyiddin supaya mengumumkan pengampunan bagi migran tanpa dokumen, yang disokong sepenuhnya semua parti politik dan Parlimen, untuk memberi keutamaan kepada perang melawan wabak Covid-19.”
Gesaan Lim menyusul insiden 156 pendatang tanpa dokumen yang ditahan pihak berkuasa imigresen di sebuah petempatan haram di Cyberjaya Sabtu lalu – mereka disembur dengan cecair pembasmi kuman yang mencetuskan kemarahan pakar kesihatan dan aktivis hak asasi.
Februari lalu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, warga asing tidak berdokumen tidak akan ditahan ketika tampil untuk vaksinasi Covid-19 dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bulan lalu berkata, Jabatan Imigresen akan mengadakan operasi menahan pendatang tanpa dokumen sepanjang perintah kawalan pergerakan penuh selama dua minggu.
Katanya, pihak berkuasa penjara sedia memperuntukkan pusat tahanan tambahan untuk menempatkan pendatang tanpa dokumen.
Khamis lalu Hamzah dilaporkan berkata, pendatang tanpa dokumen tidak layak mendapat vaksin Covid-19 kerana mereka dianggap tidak sah.
Bagaimanapun Lim berkata, “Muhyiddin harus tampil untuk mengakhiri kekeliruan dan ketidakpastian kronik dalam perang melawan pandemik Covid-19.
“Malaysia tidak akan mencapai imuniti kelompok, jika Kementerian Dalam Negeri tidak mewujudkan suasana yang boleh mendorong pendatang tanpa dokumen tidak bersembunyi dan tampil secara sukarela untuk divaksin.”