Kadar kebolehjangkitan Covid-19 terus menurun bawah 1.0

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 terus menurun bawah 1.0

Sebanyak 9 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Labuan mencatatkan kadar tertinggi dengan 1.26.

PETALING JAYA:
Memasuki hari kelapan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh, kadar kebolehjangkitan Covid-19 mengikut kes harian di Malaysia terus mencatatkan penurunan kepada 1.0 untuk dua hari berturut-turut dan 0.97 semalam.

Mengikut data yang dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Twitter menunjukkan Malaysia merekodkan penurunan nilai R-naught (R0) selama sembilan hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sebelum berkurangan setiap hari sehingga mencatat 1.0 Sabtu lalu.

Penurunan itu menunjukkan risiko jangkitan daripada seorang individu yang positif Covid-19 kepada individu lain semakin berkurangan, dan virus itu boleh dianggap tidak tersebar jika Rt berada di bawah 1.0.

Bagaimanapun, R0 di beberapa negeri masih melebihi purata kebangsaan semalam, dengan yang tertinggi adalah Labuan yang merekodkan 1.26.

Ia diikuti Negeri Sembilan (1.17), Sabah (1.16), Sarawak dan Kuala Lumpur masing-masing 1.04, Selangor dan Melaka masing-masing 1.03 serta Perak dan Johor masing-masing 1.01.

Sementara itu, Perlis mencatatkan R0 terendah semalam, iaitu 0.92 diikuti beberapa negeri lain yang merekodkan angka bawah 1.0 seperti Putrajaya (0.93), Kedah (0.95), Terengganu (0.96), Pahang dan Kelantan (0.97) serta Pulau Pinang (0.98).

Semalam Noor Hisham berkata, Malaysia masih belum selamat sepenuhnya dalam perang melawan pandemik itu walaupun kadar kebolehjangkitan kini di bawah 1.0.

Bercakap kepada FMT beliau berkata, penurunan dalam kadar kebolehjangkitan di bawah paras 1.0 tidak bererti sekatan penuh dapat dilonggarkan dan prosedur operasi standard (SOP) tidak lagi dipatuhi.

“Keadaan masih belum selamat sepenuhnya. RO cuma kadar kebolehjangkitan. Kes masih tinggi. Kita masih perlu melaksanakan kawalan kendiri dan memutuskan rantaian jangkitan.

“Jika kita semua boleh melakukan ‘self-lockdown,’ kita dapat mengurangkan lagi bilangan kes dengan lebih cepat,” katanya.

Semalam KKM melaporkan 5,271 kes baharu Covid-19, sementara 82 angka korban dalam tempoh 24 jam lalu dan 23 kluster baru direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.