Isu penyertaan Olimpik: KBS dapatkan pengesahan rasmi

Isu penyertaan Olimpik: KBS dapatkan pengesahan rasmi

Majlis Sukan Negara diminta berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia dan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pengesahan perkara itu.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican maklum laporan mengenai 10 negara berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa berhubung rapat dengan Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan mengenai penyertaan kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Menterinya, Reezal Merican Naina Merican berkata pada masa sama, beliau juga mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

“Saya ambil maklum berhubung laporan media mengenai 10 negara berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

“Ia juga berkait dengan senarai 159 negara yang dihalang daripada memasuki Jepun seperti siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Jepun.

“Siaran pemakluman tersebut juga menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah atlet dan individu lain berkenaan Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya menerusi satu kenyataan pada hari ini.

Sementara itu, Reezal Merican berkata momentum persiapan atlet negara pada masa ini berada pada tahap baik, termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik yang akan berlangsung 45 hari lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan. Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebuah akhbar harian hari ini melaporkan Kerajaan Jepun mengeluarkan satu pekeliling kepada jawatankuasa penganjur temasya berkenaan agar “tidak membenarkan kemasukan” atlet dari 10 negara yang sedang mengalami lonjakan kes Covid-19.

Menurut laporan itu, jika jawatankuasa tersebut tidak dapat menyekat kemasukan atlet, langkah lebih ketat akan dikenakan termasuk dikuarantin selama 14 hari.

Selain Malaysia, negara-negara berkemungkinan lain yang dinamakan dalam laporan itu ialah India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Maldives, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam dan United Kingdom.

Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria memberitahu Bernama pihaknya tidak menerima sebarang makluman mengenai perkara itu, serta mahu mendapatkan penjelasan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Kerajaan Jepun berkaitan isu berkenaan.

IOC pula menerusi menerusi e-mel memaklumkan langkah kawalan sempadan merupakan bidang kuasa kerajaan negara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.