Buru sindiket seludup Rohingya ke Malaysia

Buru sindiket seludup Rohingya ke Malaysia

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata pihak berkuasa menerima maklumat cubaan membawa masuk kumpulan yang mendarat di Aceh, baru-baru ini, ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata kumpulan itu dilaporkan mahu menyelinap masuk ke Malaysia dan Thailand. (Gambar Bernama)
PELABUHAN KLANG:
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin hari ini memberi amaran akan memburu sindiket yang cuba membawa masuk etnik Rohingya yang mendarat di Aceh, Indonesia baru-baru ini, ke negara ini.

Beliau berkata pihak berkuasa menerima maklumat ada cubaan membawa masuk kumpulan itu ke Malaysia.

“… laluannya adalah dari Bangladesh ke Aceh serta cuba masuk ke dalam Malaysia dan Thailand,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Area Control Centre Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di sini.

Beliau mengulas perkara tersebut susulan laporan akhbar berhubung kira-kira 80 etnik Rohingya yang telah mendarat di Aceh dan cuba memasuki Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, mengenai isu penempatan Bukit Malut, Langkawi yang dikatakan dipenuhi warga Myanmar, beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti masalah tersebut bagi menggubal satu dasar untuk menyelesaikannya.

“Ia telah menjadi masalah besar dan bukan hanya sekarang tetapi sudah bertahun-tahun. Jadi, perkara ini akan jadi agenda utama MKN melalui sesuatu polisi yang boleh menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.