Tuduh guna logo PKR punca PH berpecah sangat dangkal, pemuda PKR jawab Amanah, DAP

Tuduh guna logo PKR punca PH berpecah sangat dangkal, pemuda PKR jawab Amanah, DAP

Setiausaha Pemuda PKR berkata tiada kayu pengukur menunjukkan logo PH dikenali oleh pengundi apatah lagi selepas kalah PRK penting di Semenyih dan Tanjung Piai.

Ahmad Syukri Ab Razak berkata, kenyataan pemuda Amanah dan DAP langsung tidak berdasarkan data sokongan, sebaliknya lebih kepada emosi.
PETALING JAYA:
Tuduhan kononnya cadangan supaya logo PKR kekal digunakan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang boleh memecahbelahkan gabungan pembangkang adalah satu kenyataan dangkal.

Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, kenyataan pemuda Amanah dan DAP juga langsung tidak berdasarkan data sokongan, sebaliknya lebih kepada emosi.

Katanya, sehingga kini tiada kayu pengukur menunjukkan penggunaan logo PH yang dipertahankan pemuda Amanah dan DAP dikenali pengundi apabila gabungan itu kalah dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih dan Tanjung Piai selepas menggunakan lambang gabungan berkenaan, bukannya PKR.

“Bantahan mereka hanya didasarkan pada emosi tanpa ada langsung data sokongan. Sedangkan cadangan pemuda PKR adalah berasaskan rekod logo PKR dalam PRU yang lalu, malah sehingga kini tak ada kayu ukur yang menunjukkan logo PH dikenali oleh pengundi.

“Oleh itu amat dangkal tuduhan yang mengatakan cadangan Pemuda PKR ini boleh menjadi faktor pemecah PH sedangkan logo PKR lah yang membantu PH memenangi PRU lalu,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Pemuda Amanah dan DAP membantah cadangan Pemuda PKR supaya logo parti itu diguna dalam PRU akan datang.

Syukri memaklumkan pihaknya bagaimanapun menghormati pandangan Pemuda Amanah dan DAP yang membantah cadangan mereka.

“Isu yang dibangkitkan dalam Kongres Pemuda PKR (Pada Sabtu) adalah satu cadangan daripada pemuda PKR. Bukan keputusan di mana-mana peringkat.

“Hal seperti logo mestilah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, tapi ini tidak bermakna Pemuda PKR dan mana-mana pihak tidak boleh menyatakan cadangan,” katanya.

Terdahulu Pemuda Amanah membantah sebarang usul untuk memecahbelahkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan dengan mencadangkan penggunaan logo PKR pada PRU akan datang.

Bantahan itu timbul selepas Kongres Pemuda PKR yang berlangsung pada Sabtu, mencadangkan usul menggunakan logo PKR bagi mewakili PH pada PRU15 bagi menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada gabungan itu.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee, berkata usul membawa cadangan untuk menggunakan logo PKR, ditolak oleh mereka sebulat suara.

“Kami tidak boleh terima retorik ini yang boleh memutuskan silaturahim, mencacatkan persaudaraan, dan membunuh kesepakatan antara pendukung PH. Cadangan ini adalah satu contoh yang mengundang ke arah pecah belah itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.