Tak perlu kemas kini MySejahtera, kecuali 4 keadaan

Tak perlu kemas kini MySejahtera, kecuali 4 keadaan

Hanya perlu jika menunjukkan simptom, baru pulang dari luar negara, menjadi kontak pesakit Covid-19 atau disahkan positif.

Mohd Rabin Basir berkata, jika terdapat pekerja di sesebuah kilang disahkan positif Covid-19, semua pekerja perlu melakukan penilaian kesihatan kendiri menerusi aplikasi MySejahtera.
PETALING JAYA:
Orang ramai tidak perlu mengemas kini status kesihatan mereka pada aplikasi MySejahtera kecuali dalam keadaan tertentu, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas beberapa pekerja kilang dikompaun kerana tidak berbuat demikian.

Berdasarkan SOP sedia ada, Ketua Pengarah MKN, Mohd Rabin Basir berkata, hanya empat keadaan yang memerlukan penilaian kesihatan kendiri, iaitu menunjukkan simptom, baru pulang dari luar negara, menjadi kontak pesakit Covid-19 atau disahkan positif.

“Menurut SOP MKN, jika mana-mana pekerja dalam sebuah kilang disahkan positif, semua pekerja perlu melakukan penilaian kesihatan kendiri setiap hari melalui MySejahtera,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily.

Kenyataan Rabin menyusul pemeriksaan pematuhan SOP bersama yang dilakukan anggota penguat kuasa di Kawasan Perindustrian Kampung Acheh di Sitiawan, Perak pada Sabtu lalu yang menyaksikan 31 pekerja kilang dikompaun RM1,500 hingga RM2,000 kerana gagal mengemas kini status kesihatan mereka dalam MySejahtera.

Katanya, denda itu akan dibatalkan dan beliau menasihatkan pihak berkuasa mengambil tindakan perlu untuk meminta pegawai kesihatan daerah membatalkan kompaun terbabit.

Bagaimanapun, beliau menekankan jika terdapat kes positif yang dikesan dalam mana-mana kilang, SOP memperuntukkan semua pekerja wajib melakukan penilaian kendiri dalam MySejahtera.

Polis Perak ketika dihubungi FMT berkata, mereka akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.