https://youtu.be/i88wHAETEqo
Pensyarah ekonomi di Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, pengguna bingung dengan barang apa yang boleh mereka beli di kedai.
“Kerajaan harus menubuhkan pasukan khas segera untuk mengembalikan kepercayaan orang ramai. Perkara itu perlu diselesaikan segera kerana orang ramai membeli barang setiap hari,” katanya kepada FMT sambil menambah kerajaan mempunyai cara untuk menanganinya sebelum ia menjadi masalah besar.
Beliau berkata, kegagalan menyelesaikan masalah itu akan memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan dalam menguruskan PKP penuh.
Komennya menyusul tindakan pengguna media sosial mempersoalkan mengapa kedai tidak dibenarkan menjual beberapa jenis barangan yang ada dalam stok, seperti makanan dan minuman.
Pengguna Twitter @yours_heidi berkata, sebuah kedai di Gombak menutup bahagian menjual bekalan bilik mandi dan kebersihan yang dianggapnya barang keperluan.
Seorang lagi pengguna Twitter dikenali sebagai Lala berkata, sebuah pasar raya di Bukit Indah menutup bahagian pakaiannya.
“Bukankah pakaian merupakan barang keperluan,” soalnya sementara Aizat Zulhilmi berkata, beberapa bahagian di kedai perkakasan juga ditutup.
Semalam, rangkaian farmasi Caring Pharmacy dilaporkan menghentikan penjualan pewarna dan gel rambut serta pupur muka bagi mematuhi peraturan PKP, walaupun produk itu dilaporkan masih dijual di farmasi lain.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata rokok dibenarkan dijual walaupun tidak termasuk dalam senarai barang keperluan kerana “ia penting bagi penagih rokok”, namun penjualan minuman beralkohol dilarang kerana ia disenaraikan tidak penting oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Yeah berkata, mustahil untuk menyenaraikan semua barang yang dilarang atau boleh dijual semasa PKP penuh dan pegawai penguat kuasa perlu bertindak sebagai penyokong untuk mendidik rakyat di lapangan.
“Tujuannya untuk memastikan Covid-19 tidak merebak. Adakah dengan tidak membenarkan minuman dijual akan menghentikan penularan Covid-19?” soalnya sambil menambah kerajaan perlu mempunyai pendekatan jelas dalam hal tersebut.
Beliau berkata, pasukan khas yang dicadangkan boleh bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa dan jika timbul kekeliruan, mereka perlu pantas memeriksa sumber yang mengeluarkan SOP, iaitu MKN, Kementerian Kesihatan atau Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
“Setelah SOP jelas, keadaan akan kembali seperti biasa.”