Padah joging di kawasan perumahan lain, 8 individu dikompaun

Padah joging di kawasan perumahan lain, 8 individu dikompaun

Berjoging di kawasan perumahan yang berbeza dengan alamat di kad pengenalan adalah satu pelanggaran SOP.

Berjoging hanya dibenarkan di kawasan kejiranan anda sendiri, dan hanya jika alamat di kad pengenalan sama dengan alamat di kawasan perumahan anda.
PETALING JAYA:
Polis Hulu Kelang hari ini mengkompaun lapan individu kerana berjoging di kawasan perumahan yang tidak sama dengan alamat dalam kad pengenalan mereka.

Dalam satu kenyataan Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak berkata kompaun itu dikeluarkan berdasarkan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Farouk berkata, pegawai penguat kuasa dibenarkan memeriksa kad pengenalan seseorang untuk mengesahkan sama ada mereka tinggal di kawasan kejiranan tempat mereka berjoging.

Katanya berjoging di kawasan perumahan yang berbeza dengan alamat di kad pengenalan mereka adalah pelanggaran SOP semasa perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP3.0).

Sementara itu, polis Ampang Jaya juga sedang menyiasat hantaran di media sosial berhubung tuduhan palsu membabitkan kejadian joging itu.

Laporan dibuat oleh salah seorang pegawai yang mengeluarkan kompaun tersebut.

“Pengadu menemui beberapa hantaran yang tular dengan komen bersifat fitnah yang tidak berasas dan boleh memberi persepsi negatif terhadap pengadu. Pengadu mendakwa komen tersebut tidak benar dan kurang sopan,” kata Farouk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tambahnya sejumlah 209 orang didenda dan tiga ditangkap sejak PKP 3.0 bermula pada 12 Mei.

Seramai 66 orang lagi didenda sejak perintah sekatan penuh bermula pada 1 Jun.

“Polis menyeru masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan. Sentiasa merujuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang PKP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.