Lebih 100,000 pesakit Covid-19 dirawat di MAEPS sejak dibuka Disember 2020

Lebih 100,000 pesakit Covid-19 dirawat di MAEPS sejak dibuka Disember 2020

Tetapi, Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman berkata, jumlah itu bukan kebanggaan pihaknya kerana pengorbanan besar petugas barisan hadapan diperlukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

Walaupun terdapat rungutan, Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kakitangan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang mengatasinya sikap profesionalisme dan pesakit diharap berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang menerima lebih 100,000 pesakit sejak dibuka 9 Dis 2020, kata Pengarah Kesihatan Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman.

Katanya, jumlah itu bukan kebanggaan pihaknya kerana pengorbanan besar petugas barisan hadapan diperlukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan terbaik.

“Hari ini, kita mencatatkan 105,797 kes yang mendapat rawatan di PKRC ini dan memperoleh kerjasama baik daripada agensi lain.

“Pengorbanan dan komitmen mereka (petugas barisan hadapan) begitu tinggi, tidak kira siang atau malam, termasuk ketika cuti umum bagi memastikan pengurusan pesakit di PKRC MAEPS ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dipetik Bernama dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, kakitangan di pusat kuarantin itu juga berpengalaman dan mampu mengendalikan jumlah besar kes Covid-19.

Di awal operasi, katanya, PKRC hanya menerima pesakit kategori satu, iaitu tidak bergejala dan kategori bergejala ringan, tetapi kemudiannya ia turut menerima pesakit kategori tiga, iaitu kes radang paru-paru serta kategori empat yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Kita telah melengkapkan beberapa fasiliti di sini, seperti mesin x-ray bergerak, mesin ultrabunyi dan menambah bilangan pakar perubatan, di samping 1,800 kakitangan lain untuk memberi perkhidmatan terbaik.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus bersama 16 agensi lain bagi memastikan pesakit menerima rawatan sebaik mungkin.

Walaupun terdapat rungutan, katanya, kakitangan di pusat itu mengatasinya dengan sikap profesionalisme dan beliau berharap pesakit yang berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.