Anjur perjumpaan jemaah tabligh, lelaki dikompaun RM20,000

Anjur perjumpaan jemaah tabligh, lelaki dikompaun RM20,000

Seramai 27 orang didapati berkumpul membincangkan program amal yang akan dijalankan selain menjalankan aktiviti kerohanian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Osman Mamat, berkata serbuan mendapati 27 lelaki majoriti warga emas sedang berkumpul dalam rumah terbabit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dikompaun RM20,000 kerana menganjurkan satu perjumpaan membabitkan 27 individu daripada jemaah tabligh di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Perwira, Kamunting, Taiping, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Osman Mamat, berkata dalam kejadian sekitar jam 1 petang, pihaknya yang menerima aduan orang awam berhubung aktiviti itu segera membuat serbuan di rumah berkenaan.

Beliau dipetik Berita Harian berkata, serbuan itu membabitkan 22 anggota termasuk wakil Pejabat Agama Islam daerah, Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Pejabat Kesihatan daerah dan anggota RELA.

“Sewaktu serbuan dibuat kami dapati seramai 27 lelaki majoritinya adalah warga emas sedang berkumpul dalam rumah terbabit.

“Siasatan dan temu bual mendapati semua mereka berkumpul bagi membincangkan mengenai program amal yang akan dijalankan di samping menjalankan aktiviti kerohanian di rumah tersebut.

“Susulan itu, seorang lelaki berusia 54 tahun mengaku menganjurkan perhimpunan itu dikompaun RM20,000 kerana ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan manakala 26 yang lain diberikan amaran dan nasihat,” katanya ketika ditemui media di Sekatan Jalan Raya (SKR) di Taman Berkat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), di sini, hari ini.

Osman sebagai berkata, pihaknya juga giat menjalankan operasi di premis atau kilang sekitar daerah ini bagi mengesan mereka yang beroperasi tanpa surat kebenaran dan memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (MITI).

“Kita akan terus melaksanakan pemeriksaan dan mengambil tindakan tegas termasuk kompaun kepada mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hampir setiap hari ada premis dan kilang yang dikompaun kerana kesalahan melanggar SOP termasuk memalsukan surat MITI dan beroperasi bukan di bawah perniagaan yang dibenarkan (jumlah kilang/premis tidak diberikan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.