Ahli Parlimen Kepong akan dipanggil berhubung dakwaan pemerasan

Ahli Parlimen Kepong akan dipanggil berhubung dakwaan pemerasan

Polis turut akan memanggil dua individu yang didakwa berdepan pemerasan oleh tiga anggota polis dekat lampu isyarat di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong pada Rabu lepas.

Lim Lip Eng dalam sidang media semalam mendakwa tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua individu pada Rabu lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis akan memanggil Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bagi membantu siasatan susulan dakwaannya mengenai tiga anggota polis melakukan pemerasan terhadap dua individu berhampiran lampu isyarat di Jalan Besar Kampung Melayu, Kepong pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai berkata, dakwaan itu dibuat wakil rakyat DAP itu dalam sidang media 4.50 petang semalam dan siasatan dimulakan selepas berita mengenainya dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.

Sehingga kini, katanya, polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian yang didakwa berlaku pada 6.45 pagi itu.

“Ahli Parlimen itu serta dua individu terbabit dalam kejadian tersebut akan dipanggil bagi membantu siasatan.

”Polis memandang serius dakwaan itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap tiga anggota tersebut, jika kejadian salah laku didapati benar-benar berlaku,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.