
Beliau berkata MKN melanggar hak asasi manusia kerana kongres itu diadakan dalam talian untuk menjaga penjarakan fizikal.
Chua, yang juga Naib Presiden PKR, menuduh MKN “melampau menggunakan kuasa darurat”.
Beliau berkata keputusan itu memberi contoh yang tidak sihat berikutan MKN kini boleh meminta sesiapa sahaja untuk menghentikan sidang media, webinar atau mesyuarat maya. “Ini juga bermaksud, bila-bila saja, mereka tidak menyukai seseorang atau perjumpaan tertentu, mereka hanya boleh arah untuk dihentikan,” katanya kepada FMT.
PKR semalam berkata kongres nasional parti itu ditangguhkan berikutan arahan dari MKN.
Tian Chua, bekas Ahli Parlimen Batu, menambah ahli parti itu bingung dengan arahan tersebut kerana kongres itu diadakan dalam talian. “Sebenarnya, mereka harus menggalakkan perjumpaan dalam talian.”
“Adakah mereka takut apa yang akan kita katakan semasa kongres? Tetapi itu juga terlalu awal kerana mereka tidak tahu apa yang akan kita katakan,” tambahnya.
Beliau berkata kerajaan harus terbuka kepada semua pandangan walaupun ia adalah satu kritikan.
Beliau berkata ia adalah jelas bahawa darurat sedang digunakan “di luar batas mereka.”
“Mereka menggunakannya untuk segala macam tujuan. Bukan untuk memerangi Covid tetapi sebaliknya melanggar hak asasi manusia,” tambahnya.
Tian Chua menambah, pihaknya telah memutuskan untuk mengelakkan sebarang konfrontasi besar dengan MKN, dan setuju untuk menangguhkan kongres tersebut sehingga PKP berakhir.
“Kita telah memutuskan untuk menunggu sehingga PKP berakhir. Kita akan cuba lagi. Mari kita lihat apa yang mereka katakan (ketika itu),” tambahnya.
Penganalisis politik juga menyatakan rasa terkejut dengan tindakan MKN untuk menangguhkan mesyuarat dalam talian semalam.
Mereka memberitahu FMT, ia “pelik dan aneh” bagi pihak berkuasa untuk menghentikan perjumpaan dalam talian kerana mereka kini boleh meminta sesiapa sahaja untuk menghentikan pertemuan dalam talian mereka.
Penganalisis juga meminta MKN memberikan alasan mereka untuk menangguhkan kongres dalam talian.
Semalam, Ketua Pengarah MKN Mohd Rabin Basir menjelaskan Kongres Nasional PKR ke-15 yang dijadual hari ini boleh ditangguhkan sehingga 30 Jun ini.
Katanya, ia berdasarkan pandangan yang diterima parti berkenaan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkenaan perkara itu.
Pada 19 Mei, parti itu mengumumkan kongres nasional akan diadakan sepenuhnya dalam talian, bermula dengan kongres wanita PKR, diikuti dengan kongres Pemuda PKR. Ia sepatutnya berakhir dengan kongres nasional PKR.
Semua 2,400 perwakilan dan pemimpin dijangka menyertai melalui aplikasi Zoom dari rumah mereka, tanpa perhimpunan fizikal. Keputusan untuk mengadakan kongres secara dalam talian adalah disebabkan oleh peningkatan kes Covid-19 dan untuk mematuhi SOP yang sesuai dengan ‘total lockdown’ yang sedang berlangsung.