
Ketua Pengarahnya Mohd Rabin Basir berkata ia berdasarkan pandangan yang diterima parti berkenaan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berkenaan perkara itu.
“Dalam satu surat dihantar kepada pengurusan PKR, MKN telah memaklumkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan juga pandangan daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), Kongres Nasional PKR boleh dilaksanakan berdasarkan SOP yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, oleh kerana PKR telah mendapat pandangan daripada JPPM bahawa mereka boleh menangguhkan kongres mereka sehingga 30 Jun ini, MKN melihat pandangan tersebut lebih sah bergantung kepada keadaan semasa iaitu kita sedang melaksanakan sekatan pergerakan penuh,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Kongres Nasional PKR secara dalam talian esok.
Terdahulu, Pengarah Kongres Nasional PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan memaklumkan PKR telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada JPPM, masing-masing pada jam 6.21 petang Jumaat yang mengarahkan kongres tersebut ditangguhkan.
Tanpa memperincikan sebab persidangan berkenaan diarah ditangguhkan, setiausaha pengelola PKR itu berkata arahan terbaharu itu bertentangan dengan surat MKN bertarikh 27 Mei lepas menyatakan tiada halangan terhadap penganjuran kongres yang diadakan sepenuhnya dalam talian.
“PKR merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini dan Majlis Pimpinan Pusat telah membuat keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“Butiran keputusan akan diumumkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam amanat khas menerusi Facebook parti pada 6 Jun, jam 11 pagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa.
Jumaat lalu telah berlangsung persidangan secara maya melibatkan Kongres Nasional Wanita PKR dan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) semalam.