Tokoh korporat ganti Ahmad Nazlan Pengerusi LGM

Tokoh korporat ganti Ahmad Nazlan Pengerusi LGM

Antara mandat utama diamanahkan kepada Raja Idris Raja Kamaruddin ialah menyusun kembali hala tuju hartanah dimiliki oleh Lembaga Getah Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali berkata antara tugas diamanahkan kepada Raja Idris Raja Kamaruddin ialah menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu.
PETALING JAYA:
Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang sedang bergelut dengan “skandal penjualan dan pajakan tanah”, melantik seorang tokoh korporat sebagai pengerusi baharunya.

Raja Idris Raja Kamaruddin menggantikan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris, yang ditamatkan perkhidmatan pada 14 April lalu.

Dalam kenyataan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, berkata pelantikan Raja Idris berkuatkuasa 15 April.

“Antara mandat utama diamanahkan kepada Raja Idris ialah menyusun kembali hala tuju hartanah dimiliki oleh LGM, menyelesaikan isu berbangkit melibatkan lima fasiliti di Sungai Buloh yang masih tergendala sejak beberapa tahun lalu.

“Beliau juga diamanahkan membentangkan pelan strategik baru LGM serta LGM Properties Corporation (LGMPC) sebagai anak syarikat yang menguruskan hartanah termasuk ladang-ladang milik LGM,” katanya.

Khairuddin berkata, selaku tokoh korporat yang pernah mengetuai Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan TDM Berhad, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, pelantikan beliau diharap bakal membawa LGM ke mercu tanda pengurusan lebih baik, profesional dan berintegriti.

Mengenai kekosongan jawatan Pengerusi Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) susulan peletakan jawatan Ahmad Jazlan Yaakob, Khairuddin berkata, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPPK, Mad Zaidi Mohd Karli dilantik sebagai Pengerusi Interim Lembaga Pengarah untuk terus mengelola Lembaga itu.

“Ini susulan Ahmad Nazlan menolak pelantikan beliau sebagai Pengerusi MPOB untuk menggantikan Jazlan. Calon baharu bagi jawatan berkenaan akan ditentukan semula kemudian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.