Kurang kuat kuasa punca lebih banyak kerosakan alam sekitar, kata kumpulan

Kurang kuat kuasa punca lebih banyak kerosakan alam sekitar, kata kumpulan

Pusat Alam Sekitar Global (GEC) berkata kes kerosakan tanah, pembalakan dan perlombongan haram telah meningkat.

Beberapa ekor memerang dilihat muncul di kampus Universiti Malaysia Terengganu di Kuala Nerus sebagai ‘rumah’ mereka semasa PKP. (Gambar Nobuyuki Yamaguchi)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan alam sekitar berkata terdapat peningkatan kes kerosakan dan rampasan tanah serta pembalakan dan perlombongan haram dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bercakap kepada FMT sempena Hari Alam Sekitar Sedunia hari ini, Pusat Alam Sekitar Global (GEC) menyatakan hasil pendapatan negara terjejas akibat sekatan ekonomi, dengan belanjawan kerajaan juga terhimpit dengan pakej rangsangan, peningkatan perbelanjaan untuk sektor kesihatan dan langkah-langkah lain untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Di mana mereka boleh dapat wang tambahan dan mengisi defisit belanjawan mereka? Dari pajakan tanah,” kata pengarah GEC, Faizal Parish.

“Kita faham belanjawan mereka ketika ini difokuskan untuk langkah rangsangan kesihatan dan ekonomi, tetapi beberapa agensi menyaksikan elaun mereka dipotong sebanyak 50% atau 60%, dan ada yang tidak mempunyai bajet untuk melaksanakan penguatkuasaan.

“Sudah tentu, PKP mengehadkan perkhidmatan penting, dan Jabatan Alam Sekitar serta majlis tempatan tidak berada di luar sana membuat pemeriksaan seperti biasa.

“Kita bermula tahun ini dengan sedikit keyakinan, tetapi hakikatnya adalah lebih banyak perkara buruk berlaku kerana kurangnya rondaan.”

Faizal berkata sejak pembalakan dan perladangan dilabel sebagai sektor perlu, syarikat di sektor tersebut “mengusahakannya” tanpa pengawasan.

“Semua orang berselindung disebalik penutupan Covid-19 untuk memusnahkan alam sekitar,” katanya.

Namun, seorang jurucakap Jabatan Perhutanan berkata walaupun bajet mungkin perlu dipotong berikutan pandemik, aktiviti penguatkuasaan berjalan seperti biasa sejak awal PKP pertama pada Mac 2020.

“Mereka tak berhenti,” tambah jurucakap itu.

“Mereka masih di luar sana untuk memeriksa pembalakan haram, meronda hutan dan memastikan kilang di industri kayu tidak mengambil peluang yang mungkin timbul akibat pandemik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.