Khairy digesa tolak rancangan tahan pendatang tanpa dokumen ketika ‘total lockdown’

Khairy digesa tolak rancangan tahan pendatang tanpa dokumen ketika ‘total lockdown’

Belum ada berita dari Khairy Jamaluddin sejak beliau dilaporkan berkata akan berbincang dengan Hamzah mengenai vaksinasi terhadap pendatang tanpa dokumen.

Tenaganita mahu Khairy Jamaluddin (kiri) menghentikan rancangan Hamzah Zainudin untuk melakukan serbuan dan menahan pendatang asing tanpa dokumen.
PETALING JAYA:
Menteri penyelaras vaksin, Khairy Jamaluddin digesa oleh NGO untuk menolak rancangan Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan serbuan dan menahan pendatang tanpa dokumen dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Ia susulan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata rancangan operasi berskala besar untuk menahan pendatang tanpa dokumen adalah untuk memastikan mereka memiliki dokumen yang sah untuk tujuan vaksinasi.

Khairy sebelum ini berkata beliau akan berbincang dengan Hamzah mengenai pemberian vaksin kepada golongan itu yang akan dikemukakan tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Khairy yang masih berdiam diri berhubung perkara itu, selepas hampir satu minggu beliau berkata akan berbincang dengan Hamzah.

Namun, beliau tetap berharap Khairy menepati janji yang dibuat berkenaan pendatang tanpa dokumen dan menolak rancangan Hamzah.

“Kami berharap beliau akan meneruskan cadangannya, menerapkan prinsip inklusif, dan tidak menyerah pada tuntutan Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada FMT.

Beliau juga memberitahu Hamzah untuk meneliti semula jabatannya dan bertanya kepada jabatan imigresen mengapa terdapat begitu banyak pendatang tanpa dokumen di negara ini.

“Sekiranya jabatan itu berfungsi dengan telus, integriti dan prinsip asas, apakah kita akan mempunyai satu sistem yang dipenuhi dengan rasuah yang didokumentasikan dengan baik di Malaysia?

“Daripada merayu mengenai perlindungan hak rakyat Malaysia, kementerian itu perlu berusaha membersihkan dan memperbaiki sistem imigrasi dengan kepemimpinan yang tepat,” katanya.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira mendesak Khairy untuk melibat urus dengan pemimpin migran dan NGO mengenai cara terbaik untuk meningkatkan keyakinan pendatang untuk tampil menerima vaksin.

Beliau berkata sangat mengejutkan masalah ini masih belum dapat diselesaikan ketika sudah lebih dari setahun negara dilanda wabak Covid-19, sambil menambah Pertubuhan Migrasi Antarabangsa PBB (IOM) sudah mengadakan perbincangan mengenai topik itu beberapa bulan yang lalu.

“Jangan kata (hal) ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan mereka tidak membuat keputusan?” katanya kepada FMT.

“Banyak kerja yang perlu dibuat untuk menarik migran mengikuti program vaksinasi. Kenyataan seperti ini akan mensia-siakan kerja keras kita dan membahayakan rakyat Malaysia sekiranya pendatang tidak diberi vaksin,” katanya, merujuk kepada kenyataan Hamzah.

Menyeru ketelusan dan kejujuran dari kerajaan, Pereira menyatakan kebimbangannya terhadap memastikan para pendatang tampil untuk menerima vaksin kerana tiada arahan “hitam putih” kepada komuniti itu tentang cara mengakses suntikan vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.