Hubungan Umno-PAS perlu terus diperkukuh, bukan ditamatkan, kata Md Alwi

Hubungan Umno-PAS perlu terus diperkukuh, bukan ditamatkan, kata Md Alwi

Pemimpin Umno Kelantan itu yakin gandingan Umno-PAS mampu ‘menang mudah’ di hampir semua kerusi Melayu.

Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyifatkan gesaan untuk parti itu menamatkan kerjasama dengan PAS dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai “tidak relevan.”
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menyifatkan gesaan untuk parti itu menamatkan kerjasama dengan PAS dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebagai “tidak relevan.”

Dalam menolak desakan itu yang dibuat Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed itu, ahli MKT dari Kelantan, Md Alwi Che Ahmad, sebaliknya mahu kerjasama kedua parti itu terus diperkukuh serta dipertahankan dalam Muafakat Nasional (MN).

Md Alwi berkata kerjasama itu perlu diperkasa dengan apa cara sekalipun kerana ia harapan orang Melayu untuk melihat dua parti itu bersatu dan memenangi pilihanraya.

Alwi mendakwa sekiranya bersama PAS, “kita boleh menang mudah di hampir semua kerusi Melayu sebab itu kehendak majoriti orang Melayu.”

Semalam, Nur Jazlan menyifatkan PAS sebagai satu liabiliti jika Umno menjadikan parti Islam itu sebagai sekutunya dalam menghadapi PRU15.

Beliau berkata ini kerana PAS tidak mempunyai rekod urus tadbir dalam negeri yang diperintahnya.

Beliau juga mendakwa PAS kini “kelihatan lebih minat untuk memperolehi kuasa dan kedudukan malah dalam keadaan tertentu, wang”.

Jazlan berkata “ada beberapa dakwaan yang cukup serius” dalam kontroversi rancangan pajakan dan jualan tanah milik Lembaga Getah Malaysia yang berada bawah bidang kuasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang juga pengarah strategi PAS.

Khairuddin berkata isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu yang mesra pemimpin Umno. Pengarah Strategi PAS itu menegaskan beliau tetap komited memperkukuhkan gandingan PAS-Umno menerusi Muafakat Nasional.

Mengulas lanjut, Alwi meminta pemimpin dan ahli Umno supaya lebih berhati-hati dalam memberi komen dan “memperbetulkan rumah tangga sendiri terlebih dahulu.”

Bagaimanapun beliau berpendapat Nur Jazlan “mewakili dirinya sendri” dalam membuat gesaan itu.

Sementara itu Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin juga berkata, pandangan Nur Jazlan tidak mewakili parti sebaliknya lebih kepada pandangan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.