
“Mereka takut rakyat nampak dan rakyat mempersoalkan jika PKR berjaya mengadakan Kongres Nasional secara maya dengan lebih 2,000 orang perwakilan, kenapa kerajaan darurat PN tidak boleh membuka Parlimen secara dalam talian hanya untuk 222 orang Ahli Parlimen saja?,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Beliau yang juga peguam berkata, tindakan MKN melarang kongres secara maya itu diadakan amat malang dan tidak demokratik.
“Larangan ini dibuat bertentangan dengan keputusan persetujuan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sebelum ini.
“Kongres Nasional PKR dibuat sepenuhnya dalam talian dan mendapat kebenaran dan nasihat dari MKN sendiri tentang cara melakukannya bagi mematuhi SOP dalam usaha mengelak penularan wabak Covid-19,” katanya kepada FMT.
Justeru, beliau mendesak MKN supaya menunjukkan akta atau undang-undang yang membolehkan badan itu melarang Kongres Nasional PKR diadakan secara maya yang sudah dipersetujui sebelum ini.
Malah, Hassan berkata, larangan MKN itu jelas melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
“Apa asas undang-undang di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membolehkan MKN melarang Kongres Nasional dalam talian? Seksyen berapa dalam Akta itu?,” katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan, PKR berkata Kongres Nasional parti itu terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian selepas menerima arahan MKN.
Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata parti itu menerima surat daripada MKN pada 4 Jun dan makluman secara lisan daripada Pendaftar Pertubuhan pada hari sama.
Nik Nazmi berkata, arahan terbaharu MKN itu bertentangan dengan surat dihantar mereka pada 27 Mei lalu yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR secara dalam talian sepenuhnya.
FMT sedang mendapatkan MKN untuk maklumat lanjut.
Kongres tahunan ke-15 PKR sepatutnya dijadual berlangsung selama tiga hari dimulai dengan persidangan Wanita bersama ucapan Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, diikuti ucapan dasar Ketua Wanita, Fuziah Salleh.
Hari ini, berlangsung persidangan sayap Pemuda PKR, dengan ucapan dasar oleh Ketua Pemudanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Kongres Nasional itu penting bagi memenuhi keperluan undang-undang bawah Akta Pertubuhan di bawah bidang kuasa JPPM dan ia perlu diadakan bagi mematuhi Perlembagaan Parti PKR.
Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung esok adalah Kongres Nasional 2020 yang sepatutnya diadakan tahun lalu namun ditangguhkan kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Kali terakhir parti itu mengadakan kongres tahunannya adalah pada 2019.