Wajibkan vaksinasi jika pendaftaran gagal capai sasaran, kata PM

Wajibkan vaksinasi jika pendaftaran gagal capai sasaran, kata PM

Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga sedang meneliti mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan anti vaksin.

PETALING JAYA:
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) digesa mengkaji kemungkinan mewajibkan vaksinasi jika bilangan pendaftaran tidak mencapai sasaran imuniti kelompok ditetapkan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sedang meneliti untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kumpulan antivaksin.

“Kalau ikut perancangan kita, saya harap kita dapat percepat vaksinasi, yang penting jangan ada orang berkata, ‘jangan vaksin’.

“Kita tidak mahu separuh daripada orang kita sudah dapat suntikan manakala sebahagian lagi tidak dapat kerana ini akan membawa kesan,” katanya, seperti dilaporkan oleh Bernama.

Katanya, rakyat Malaysia juga digesa menjadi sukarelawan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dapat dijayakan.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Ketika ini, vaksinasi Covid-19 tidak diwajibkan dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin pada Jan memaklumkan Putrajaya tidak bercadang menjadikan pengambilan vaksin sebagai satu yang wajib.

Sehingga tengah malam tadi, lebih 3.3 juta dos vaksin sudah diberikan.

Terdahulu, polis juga berkata akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempengaruhi orang lain untuk tidak mengambil vaksin Covid-19 menerusi pemantauan sentimen antivaksin di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.