Video amuk di klinik Pengkalan Kubor video lama

Video amuk di klinik Pengkalan Kubor video lama

Video itu dikesan telah ditularkan sekali lagi pada 1 Jun lepas menerusi aplikasi WhatsApp.

Tangkap layar video tahun lepas memaparkan seorang lelaki yang dikatakan mengamuk berkaitan vaksin di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor, Kota Bharu tular sekali lagi sejak Selasa lepas.
KOTA BHARU:
Video yang tular di media sosial sejak Selasa lepas berkait seorang lelaki yang dikatakan mengamuk kerana vaksin di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor adalah video yang dirakam tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin berkata, video itu dirakam dan menjadi tular pada 5 Julai 2020, namun kini dikesan telah ditularkan sekali lagi pada 1 Jun lepas menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, isu kali ini dikaitkan oleh netizen kononnya mengenai vaksin, walaupun kata-kata lelaki dalam video itu sebenarnya tidak difahami.

“Mereka membuat andaian dan persepsi bahawa kejadian amuk itu berpunca daripada doktor yang menyuntik vaksin kepada emak lelaki itu, namun emaknya dikatakan menolak. Ada juga yang mengatakan lelaki itu mengamuk kerana tidak mendapat vaksin dan sebagainya.

“JKNK ingin menegaskan bahawa lelaki dalam video berkenaan merupakan pesakit ‘Bipolar Affective Disorder’ dan mendapat rawatan di Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri, Hospital Raja Perempuan Zainab II,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zaini berkata, punca sebenar lelaki itu mengamuk ialah kerana tidak berpuas hati berkaitan ibunya yang dikehendaki menjalani ujian darah ekoran siasatan lanjut penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Satu laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan setelah dia mengamuk dan membaling sebiji batu bata ke arah cermin tingkap bilik rawatan kecemasan dan bilik terapi metadone. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan, lelaki itu kemudiannya ditangkap polis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.