Tak tahan dengan gangguan bekalan air, penduduk bina paip graviti sendiri

Tak tahan dengan gangguan bekalan air, penduduk bina paip graviti sendiri

Difahamkan, inisiatif yang dicetuskan sendiri oleh komuniti di kawasan berkenaan dibuat berikutan masalah bekalan air yang telah berlarutan sejak sekian lama.

Penduduk di Bandar Sierra, Telipok, berganding bahu membina paip graviti bagi susulan masalah bekalan air di kawasan itu yang tiada kesudahan. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Tidak mahu berdepan masalah air yang tidak berkesudahan, sekumpulan penduduk di Taman Bandar Sierra, di Telipok, tampil dengan inisiatif membina sendiri paip graviti bagi mendapatkan bekalan sumber penting itu.

Difahamkan inisiatif yang dicetuskan sendiri oleh komuniti di kawasan berkenaan diambil berikutan masalah bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama.

Malah baru-baru ini, beberapa tempat di kawasan itu langsung tidak menerima bekalan air selama lebih dua minggu dan ada penduduk yang terpaksa menginap di hotel selain pulang ke kampung kerana sudah tidak tahan dengan masalah air terbabit.

Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga Komuniti Bandar Sierra, Asfar Abd Hamid berkata, usaha membina paip graviti bagi mendapatkan sumber air dari kawasan bukit berhampiran berlaku secara spontan tanpa perbincangan yang panjang.

Katanya, ini kerana penduduk di kawasan berkenaan sangat terdesak untuk mendapatkan bekalan air dan apabila mengetahui adanya cara untuk mengatasinya, mereka tidak teragak-agak untuk memulakan usaha berkenaan.

“Tanpa banyak cakap, mereka sanggup mengeluarkan duit untuk mengumpul dana. Bukan setakat itu sahaja, ada yang turut memberi sumbangan peralatan dan lebih menyentuh perasaan saya, ada yang sanggup bersama-sama untuk ‘bertukang’ membina paip itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerjasama diberikan sangat baik dengan beberapa kumpulan melakukan kerja pembinaan di atas bukit dan ada yang bekerja di kawasan bawah bukit sehinggalah paip itu sampai ke kawasan pagar penduduk yang terlibat.

Usaha untuk mendapatkan sumber air di kawasan bukit berhampiran berlaku secara spontan tanpa perbincangan yang panjang dalam kalangan penduduk.

Asfar berkata, idea untuk membina paip air graviti itu tercetus apabila salah seorang penduduk di situ yang dikenali sebagai Cikgu Redzuan Sabirin menjadi orang pertama yang mahu membinanya.

“Ketika itu, Cikgu Redzuan telah mengangkat paip dan peralatan lain untuk membuat paip air graviti, tetapi saya melihat peralatannya tidak mencukupi dan perlu kumpul lebih banyak dana.

Beliau berkata, setakat ini, paip graviti berkenaan membekalkan air kepada lima lorong membabitkan kira-kira 120 buah rumah di kawasan perumahan itu.

Katanya, mereka juga merancang untuk membina lebih banyak paip, termasuk membina tangki utama bagi mengumpul air sebelum disalurkan kepada penduduk yang terjejas dengan masalah bekalan air sebelum ini.

“Selain itu, kami juga berterima kasih kepada ADUN dilantik, Aliakbar Gulasan yang turun padang melihat keadaan kami serta memberikan sumbangan tangki,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Tony Paridi Bagang berkata, walaupun penduduk di Bandar Sierra mengambil inisiatif sendiri untuk membina paip graviti, namun ia bukanlah alasan untuk Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak menyelesaikan masalah air di kawasan itu.

“Ini bukan masalah baharu, malahan semakin lama ia semakin teruk sehingga ada penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air.

“Kami terpaksa beli air walaupun mahal, kos sara hidup juga meningkat akibat masalah ini, makanan dan minuman beli di luar, terpaksa mengharapkan hujan untuk kumpul air… betapa seksanya hidup kami di Bandar Sierra ini,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan penduduk di Taman Bandar Sierra dan Taman Rimba di Telipok mengalami gangguan bekalan air sejak 23 April lalu. Mereka membidas pelan mitigasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ibarat melepaskan batuk di tangga.

Tony berkata penduduk kecewa dan mula hilang sabar apabila aduan kepada JANS tidak dihiraukan serta tiada tindakan lebih proaktif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.