Sama-sama bantu atasi wabak, bukan tuding jari, titah Permaisuri Johor

Sama-sama bantu atasi wabak, bukan tuding jari, titah Permaisuri Johor

Wabak ini menampakkan jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan yang kurang bernasib baik, kata baginda.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di ICU, atau mengurangkan tekanan dihadapi keluarga susah mahupun mereka yang kehilangan pendapatan. (Gambar Facebook Dr Noor Hisham Abdullah)
PETALING JAYA:
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah agar rakyat menghulurkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada hospital, petugas barisan hadapan atau golongan yang ditimpa kesusahan di kala wabak Covid-19 ini, berbanding menuding jari kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa.

Titah baginda, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU), atau mengurangkan tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik, mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu mencari nafkah untuk keluarga.

“Walaupun rakyat berhak mengkritik dan mempersoalkan tindak-tanduk keputusan diambil kerajaan, kita juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan sendiri.

“Jangan lupa ada antara kita perlu bertanggungjawab atas keadaan sekarang ini,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

“Pihak hospital merupakan entiti paling terkesan. Lihatlah kontena terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat, serta cabaran lain dilihat sepanjang tahun lalu.

“Apa salahnya kita tunjukkan walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit, dari ambang kematian?”

Menurut baginda, keluarga diraja Johor akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan, atau bergaji kecil.

“Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba membuat terbaik,” titah baginda, seperti dilaporkan Bernama.

Raja Zarith Sofiah bertitah, wabak ini juga mewujudkan jurang perbezaan antara golongan hidup senang dan kurang bernasib baik, selain menampakkan jurang antara mereka yang sudi membantu secara sukarela, dan mereka yang selesa di belakang papan kekunci, mencari kesalahan.

“Kita mesti sedar bahawa semua mempunyai peranan untuk dimainkan.

“Pokok pangkalnya, pepatah lama ‘bersatu teguh, bercerai roboh’ tetap terpakai, dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.